Trend 'unboxing' isteri ibarat 'jual bini', kata mufti


Antara trend 'unboxing' pengantin perempuan yang tular di laman sosial. – Gambar YouTube, 14 Januari, 2022.

TREND unboxing isteri yang menjadi ikutan pengantin baharu, bila mana pengantin lelaki membantu pengantin perempuan membuka tudung dirakam untuk dimuat naik ke dalam media sosial dianggap seperti ‘menjual bini’.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, berkata kemajuan teknologi yang semakin berubah menjadikan manusia mendedahkan diri sendiri sebagai satu kebanggaan dan kesombongan.

“Kebanggaan dan kesombongan untuk menunjukkan apa yang aku ada dan apa yang orang lain tiada sehingga ada yang terpengaruh dengan memuat naik kandungan unboxing isteri semata-mata untuk mendapat like (tanda suka) yang banyak dalam media sosial.

“Kadang-kadang mereka ini membuat trend yang melampaui batas sampai mendedahkan isteri sendiri,” katanya di Kangar, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan hadis riwayat Al-Bukhari: “Nabi Muhammad SAW tidak membenarkan perempuan bercerita mengenai tubuh perempuan lain kepada suaminya kerana itu akan menaikkan syahwat suaminya terhadap perempuan lain.”

Mohd Asri juga berkata, pembabitan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang tidak berfaedah perlu dikurangkan.

Sementara itu, seorang penjawat awam Norhafizah Saad, 48, berkata trend unboxing itu dianggap kurang sopan kerana aurat isteri adalah untuk suami dan bukannya untuk menjadi bahan tontonan ramai.

“Tidak perlu untuk kongsi apa yang kita ada untuk semua orang walaupun niat asal hanya untuk berkongsi kegembiraan akhirnya seolah-olah menjual bini,” katanya.

Sementara itu di George Town, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, trend unboxing itu seolah-olah menunjukkan orang Islam tidak menitikberatkan sifat malu sedangkan agama Islam mementingkan sifat itu.

“Saya amat dukacita dengan tindakan suami isteri yang meniru trend itu dan ini menunjukkan semakin ramai orang Islam di negara ini pada masa kini sudah kehilangan sifat malu, sedangkan agama Islam amat mementingkan sifat ini.

“Perasaan malu menurut beberapa hadis Rasulullah SAW dianggap sebagai anak kunci syurga. Sifat ini juga tiang seri bagi akhlak terpuji yang mampu memelihara iman seorang Muslim dan mencegahnya daripada melakukan maksiat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Salim juga menyarankan supaya perbicaraan berkaitan kes perbalahan antara suami isteri di Mahkamah Syariah dijalankan secara tertutup supaya rahsia mereka tidak diketahui orang lain.

Katanya, perbalahan antara pasangan suami isteri tidak seharusnya dijadikan bahan tontonan kepada orang ramai.

“Tentunya di dalam perbicaraan akan tersingkap aib masing-masing, kadang-kadang ada yang mengambil kesempatan meruntuhkan rumah tangga pasangan terbabit atau meruncingkan lagi keadaan sehingga sukar untuk diselesaikan,” katanya. – Bernama, 14 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen