PBB perlu lebih tegas lindungi rakyat Palestin, gesa mufti Perlis


Asap dan api kelihatan selepas serangan udara Israel di Gaza. Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan sekurang-kurangnya 20 orang maut termasuk sembilan kanak-kanak. – Gambar EPA, 11 Mei, 2021.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bertindak lebih tegas bagi melindungi rakyat Palestin yang terus dizalimi oleh rejim Israel di bumi sendiri.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata PBB hendaklah menguna kuasa yang ada pada badan dunia itu bagi menghentikan tindakan ketidakberperikemanusiaan Israel itu.

“Amat mendukacitakan apabila PBB gagal untuk mengeluarkan satu kenyataan dan tindakan yang lebih tegas.

“Tahniah kepada rakyat Palestin kerana mereka terus bersemangat dan tidak berganjak walaupun dizalimi serta mereka telah membuktikan kepada dunia bahawa mereka tidak tunduk pada kezaliman dan kejahatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat Perkarangan Istana Arau di Perlis hari ini.

Pada Isnin, serangan udara yang dilancarkan oleh tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza  telah mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin termasuk kanak-kanak.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat, Perkarangan Istana Arau bersama rakyat kariah Arau dengan mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta anakanda baginda Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Azlan Man dan barisan Exco Perlis.

Mohd Asri berkata Perlis mempunyai hubungan yang baik dengan imam Masjid al-Aqsa dan Raja Muda pernah berkunjung ke masjid berkenaan bagi menyampaikan bantuan. – Bernama, 13 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen