Kerajaan perlu dedah laporan kehilangan Koh, Amri, kata Suhakam


Noel Achariam

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata laporan pasukan petugas perlu didedahkan kepada umum bagi memberi jawapan kepada segala persoalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2022.

LAPORAN pasukan petugas khas mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat harus didedahkan kepada umum, kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Mah Weng Kwai.

Mah mengetuai panel siasatan awam Suhakam mengenai kehilangan Koh dan Amri yang membuat kesimpulan kedua-duanya adalah kes kehilangan paksa dan Cawangan Khas polis didakwa menculik mereka.

Kehilangan paksa ialah penculikan atau pemenjaraan seseorang secara rahsia oleh pihak kerajaan atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan kebenaran, sokongan, atau persetujuan kerajaan atau organisasi politik, diikuti keengganan mengakui nasib dan keberadaan orang itu, dengan niat meletakkan mangsa di luar perlindungan undang-undang.

Koh diculik lelaki bertopeng di Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Februari 2017. Amri menghilangkan diri pada 24 November 2016 selepas meninggalkan rumahnya di Kangar, Perlis.

Susulan penemuan Suhakam pada 2019, Putrajaya membentuk pasukan petugas khas untuk meneliti kedua-dua kes itu tetapi sehingga hari ini, dapatan pasukan petugas itu tidak diketahui.

Mah, bekas hakim Mahkamah Rayuan memberitahu penting laporan itu didedahkan kepada umum supaya orang ramai dapat mempertimbangkan penemuan itu.

“Memandangkan ada pasukan petugas khas yang dibentuk kerajaan untuk menyiasat kes Koh dan Amri, maka kerajaan wajib mendedahkan penemuan itu supaya kes tersebut dapat dibincang dan dianalisis.

“Mengapa ada pasukan petugas untuk menyiasat jika laporan itu tidak boleh diperolehi?” Soalnya.

Ini adalah kali kedua Suhakam menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum penemuan pasukan petugas khas itu, yang pertama pada 30 Ogos tahun lalu.

Putrajaya setakat ini enggan memberikan laporan itu atas alasan ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Surendra Ananth, peguam yang bertindak bagi isteri Amri, Norhayati Ariffin, berkata klasifikasi laporan di bawah OSA hanyalah satu daripada beberapa halangan yang dihadapi anak guam mereka sejak memfailkan saman sivil pada 2019.

Surendra berkata beliau tidak percaya ada alasan yang sah atau munasabah untuk mengklasifikasikan laporan itu sebagai rahsia rasmi.

Mah dalam pada itu berkata laporan pasukan petugas perlu didedahkan kepada umum supaya ada penutupan bagi mereka yang mencari jawapan terhadap apa yang berlaku, sambil menambah Putrajaya berhutang kepada orang ramai, termasuk keluarga Koh dan Amri, untuk mendedahkan laporan itu kepada umum.

Pada 2019, menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin mengarahkan pasukan petugas khas menyiasat penemuan Suhakam. 

Pasukan petugas itu diberi tempoh enam bulan mulai Jun tahun yang sama untuk melakukan tugas itu dan laporan itu sepatutnya dikeluarkan pada Disember 2020.

Mah berkata laporan siasatan awam Suhakam mengenai Koh dan Amri dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Perdana Menteri dan polis.

Panel siasatan itu dipengerusikan oleh Mah, bersama Pesuruhjaya Dr Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Pada 13 Februari, Susanna Liew yang merupakan isteri kepada Koh, akan mengadakan acara nyalaan lilin di Majlis Gereja Malaysia sebagai memperingati ulang tahun ke-5 kehilangan suaminya.

Bulan lalu, Suhakam menamatkan siasatan awamnya mengenai kehilangan Joshua dan isteri warga Indonesia, Ruth. Penemuan panel akan diumumkan tidak lama lagi. – 13 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen