Kehidupan perit genap 5 tahun Amri hilang, kata isteri


Raevathi Supramaniam

Isteri Amri Che Mat, Norhayati Ariffin, berkata beliau dan anak-anak juga terpaksa berdepan pandangan serong masyarakat berikutan suaminya dituduh sebagai pengikut Syiah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2021.

KEHIDUPAN keluarga Amri Che Mat begitu memeritkan sejak kehilangan aktivis Perlis itu lima tahun lalu.

Isterinya Norhayati Ariffin ketika dihubungi The Malaysian Isnight berkata mereka juga terpaksa berdepan pandangan serong masyarakat berikutan suaminya dituduh sebagai pengikut Syiah.

Hari ini genap lima tahun Amri hilang tanpa jejak. Beliau kali terakhir dilihat pada malam 24 November 2016 selepas keluar dari rumahnya di Kangar, Perlis.

“Hanya keluarga mangsa kehilangan paksa sahaja yang tahu keperitan yang kami lalui.

“Saya dan anak-anak akan terus tabah dan bersabar menempuh hidup,” kata Norhayati.

Norhayati dan Amri mempunyai empat anak berusia 14, 19, 21 dan 23 tahun.

Guru sekolah menengah itu berkata beliau kini hanya mahu pihak yang bertanggungjawab atas kehilangan suaminya itu dihukum.

“Saya mahu siapa saja dalangnya dihukum atas perbuatan jenayah mereka.”

Amri, aktivis dan pengasas bersama pertubuhan Perlis Hope, didakwa pengikut fahaman Syiah.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Norhayati semasa inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam).

Suhakam mendapati kes kehilangan Amri mempunyai banyak persamaan dengan Pastor Raymond Koh yang diculik sekumpulan lelaki bertopeng Jalan SS4B/10 in Petaling Jaya  pada 13 Februari 2017.

Siasatan Suhakam menyimpulkan Amri dan Koh mungkin mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh pasukan Cawangan Khas PDRM. Pasukan itu diberi masa selama enam bulan bermula Jun 

Undang-undang hak asasi antarabangsa mentafsirkan kehilangan paksa sebagai seseorang yang diculik secara rahsia atau dipenjarakan oleh kerajaan atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan kuasa, sokongan atau persetujuan daripada kerajaan atau organisasi politik.

Pejabat pertubuhan Perlis Hope di Kangar, Perlis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2021.

Pada 2019, Muhyiddin Yassin ketika itu menteri dalam negeri telah mengarahkan supaya sebuah pasukan petugas khas bentuk bagi meneliti laporan Suhakam berhubung kehilangan Amri dan Koh.

Pasukan itu diberi masa selama enam bulan bermula Jun tahun itu bagi mengesyorkan tindakan wajar yang perlu diambil oleh kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.

Namun, kata Norhayati, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang perkembangan dari pasukan petugas khas tersebut, polis atau kerajaan mengenai perkembangan siasatan ke atas kehilangan Amri.

“Tiada perkembangan apa-apa sampai sekarang. Inkuiri Suhakam menyimpulkan mereka diculik anggota Cawangan Khas, tetapi pasukan petugas khas hanya membisu,” ujarnya.

Menurut Norhayati, sejak mula lagi mereka sekeluarga tidak berpuas hati dengan cara pihak berkuasa menyiasat kes kehilangan Amri.

“Kami betu-betul tak berpuas hati. Sejak awal lagi ada banyak pembohongan dan kekeliruan dalam siasatan.”

Semalam, pertubuhan bukan kerajaan Citizens Against Enforced Disappearences (Caged) mendesak supaya kerajaan laporan siasatan kehilangan Amri.

Caged dalam kenyataannya juga mendesak agar Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan selepas Suhakam menyimpulkan Amri dan Koh adalah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota polis. – 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen