Isteri ingin tahu status laporan kehilangan Pastor Koh


Noel Achariam

Susanna Liew berkata sudah tiga tahun pasukan petugas menyelesaikan laporan mengenai kehilangan suaminya tetapi masih belum didedahkan kepada umum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2022.

SUSANNA Liew sekali lagi mempersoalkan Putrajaya laporan pasukan petugas khas mengenai kehilangan suaminya Pastor Raymond Koh yang hilang genap lima tahun lalu pada 13 Februari ini.

Liew berkata sudah tiga tahun pasukan petugas menyelesaikan laporan itu, yang masih belum didedahkan kepada umum.

Ketika keluarga itu berhasrat untuk mengadakan upacara ulang tahun ke-5 kehilangan Koh, beliau berkata sejak laporan itu selesai, tiada sebarang berita daripada pihak berkuasa.

“Setakat ini kami tidak mendengar apa-apa daripada pihak berkuasa atau perkembangan siasatan mereka.

“Juga tiada berita daripada pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk meneliti laporan disediakan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) selepas siasatan awam,” katanya kepada The Malaysian Insight .

Liew meluahkan rasa hatinya seminggu sebelum ulang tahun kehilangan Koh yang berlaku pada 13 Februari 2017.

Beliau berkata ahli keluarga, peguam dan rakan mereka akan mengadakan upacara menyalakan lilin di Majlis Gereja pada 13 Februari.

Liew mendakwa laporan itu sepatutnya dikeluarkan pada Disember 2020, tetapi masih tiada berita mengenainya.

“Saya sangat kecewa dengan sikap berdiam diri dan layanan diberikan kepada keluarga.

“Ia akan genap lima tahun dan keluarga (termasuk aktivis yang hilang Amri Che Mat) semakin marah dengan tindakan pihak berkuasa dan kerajaan.”

Pada 2019, menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin mengarahkan pasukan petugas khas meneliti penemuan Suhakam.

Pasukan petugas itu diberi tempoh enam bulan, bermula Jun tahun yang sama, untuk menjalankan tugas itu.

Pada Februari 2020, Liew berkata susulan ketiadaan tindakan daripada pihak berkuasa, beliau memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung dakwaan penculikan Koh pihak berkuasa.

Beliau memulakan tuntutan mahkamah terhadap bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dan Mohamad Fuzi Harun.

“Kami mendengar daripada peguam yang perbicaraan kes kami dijangka pada Disember tahun ini.

“Kami mahu polis dan kerajaan bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku dengan empat orang yang hilang,” katanya sambil menambah dua lagi ialah Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu.

Minggu lalu, Suhakam menamatkan siasatan awam mengenai kehilangan Joshua dan isteri warga Indonesia, Ruth. Penemuan panel akan diumumkan tidak lama lagi.

Walaupun tiada tindakan daripada pihak berkuasa, Liew berkata beliau tidak mempunyai perasaan sakit hati atau marah terhadap polis dan cawangan khas.

“Saya cuma marah mereka mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan (isu orang hilang).

“Kami semakin tidak sabar kerana tidak boleh mempunyai sebarang penutupan dan mempunyai perasaan kami tidak boleh melupakannya.

“Kami tidak tahu sama ada mangsa sudah mati atau masih hidup. Kami tidak tahu apa yang telah berlaku kepada mereka?”

Liew berkata beliau akan menghubungi Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin untuk membantunya (mengenai laporan itu).

“Saya akan menghantar surat kepada kedua-dua ahli Parlimen meminta bantuan mereka.”

Pada September, kerajaan enggan menyediakan laporan itu atas alasan ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pada November, peguam, yang bertindak bagi pihak isteri Amri, Norhayati Ariffin, berkata klasifikasi laporan di bawah OSA hanyalah satu daripada beberapa halangan yang dihadapi anak guam mereka sejak memfailkan saman sivil pada 2019.

Peguam Surendra Ananth berkata beliau tidak percaya terdapat alasan yang sah atau munasabah untuk mengklasifikasikannya sebagai rahsia rasmi, laporan pasukan petugas yang diumumkan secara terbuka tiga tahun lalu. – 5 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen