NGO gesa laporan siasatan kehilangan Amri, Pastor Koh didedah


Keluarga aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh di ibu pejabat Suhakam pada 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2021.

SEBUAH badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa Putrajaya mendedahkan laporan pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk meneliti kehilangan Pastor Raymod Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Kumpulan Tindakan Rakyat terhadap Penculikan (Caged) berkata pihak berkuasa perlu mendedahkan apakah bentuk tindakan yang disyorkan pasukan itu terhadap pihak bertanggungjawab atas kehilangan dua individu berkenaan.

“Apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan dan polis hasil penelitian pasukan petugas khas itu?

“Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinet harus mendedahkan laporan,” katanya dalam satu kenyataan.

 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dua tahun lalu Suhakam membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan Amri dan Koh.

Kesimpulan itu, kata caged, tidak dibuat secara mudah oleh Pesuruhjaya Suhakam Aishah Bidin, Nik Salida Suhaila dan Mah Weng Kwai.

“Kesimpulan dibuat selepas siasatan awam selama 18 bulan.

“Juga selepas mengambil kira reputasi profesional mereka dan sudah tentu reputasi Yang di-Pertuan Agong yang melantik mereka akan tercalar jika menjalankan tugas dengan cuai.”

NGO itu seterusnya berkata Suhakam juga membuat kesimpulan demikian kerana percaya pegawai atasan PDRM dan kerajaan perlu tahu apa yang sebenarnya dilakukan oleh pasukan Cawangan Khas, seterusnya mengambil tindakan susulan untuk memulihkan reputasi pasukan polis.

“Bilakah polis dan Kabinet akan bertindak untuk memulihkan reputasi polis, yang terjejas akibat hasil siasatan Suhakam?”

Pasukan petugas khas tersebut ditubuhkan semasa Muhyiddin jadi menteri dalam negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin ketika itu berkata pasukan petugas khas itu akan mengesyorkan bentuk tindakan yang wajar diambil kementerian atau pihak bertanggungjawab tentang kehilangan kedua-dua individu berkenaan. – 2 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen