Siasatan Suhakam kehilangan paderi, isteri berakhir tanpa jawapan


Noel Achariam

Siasatan Suhakam tiada menemui sebarang petunjuk jelas apa yang berlaku kepada Joshua Hilmy dan isterinya warga Indonesia, Ruth Sitepu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2022.

SELEPAS 22 bulan, siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan paderi Joshua Hilmy dan isterinya warga Indonesia, Ruth Sitepu berakhir hari ini tanpa sebarang petunjuk jelas apa yang berlaku kepada pasangan itu.

Peguam kepada keluarga itu, Philip Koh memberitahu inkuri yang polis perlu mengubah prosedur operasi standard (SOP) mereka terhadap orang hilang dan lebih telus dalam siasatan.

“Apabila bukti yang betul dikemukakan, maka ia tidak sepatutnya menjadi kes orang hilang dan perlu diklasifikasikan sebagai penculikan serius atau kehilangan secara paksa.

“Kertas siasatan juga perlu disediakan semasa siasatan awam, yang tidak akan dikeluarkan,” katanya semasa penghujahan lisan hari ini.

Koh bersama pemerhati polis, Majlis Peguam dan kumpulan masyarakat sivil Indonesia KontraS membentangkan hujahan lisan mereka hari ini.

Semasa penghujahan, Koh memberitahu panel yang mereka harus meneliti cadangan bekas panel Suhakam yang mengendalikan kes kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat.

Koh berkata, saranan bekas panel itu ialah perlunya sempadan antara polis dan pihak berkuasa agama.

“Kami menyedari mungkin terdapat ancaman kepada ketenteraman awam yang mungkin melibatkan polis.”

Siasatan Suhakam terhadap Koh dan Amri sebelum ini membuat kesimpulan yang kedua-duanya berkemungkinan besar ditaham oleh Cawangan Khas polis, dan mengklasifikasikannya sebagai kes kehilangan paksa, yang melibatkan pihak berkuasa.

Bagi kes Joshua dan Ruth, mereka dilaporkan hilang selepas meninggalkan rumah pada 30 November 2016.

Suhakam memulakan siasatan awam pada 18 Februari 2020 untuk menyiasat kehilangan pasangan itu.

Pemerhati polis SAC Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata semasa penghujahannya berdasarkan keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan, tiada tanda kehilangan secara paksa.

“Sepanjang siasatan, tiada saksi yang boleh menyatakan kehilangan mereka dilakukan oleh individu atau mana-mana kumpulan.

“Tiada siapa boleh membuktikan dengan jelas kehilangan Joshua dan Ruth.”

Ahmad turut menafikan sekeras-kerasnya usaha mana-mana pihak menyalahkan polis yang mereka tidak telus dan berniat buruk.

Pegawai Suhakam berkata mereka sudah menjalankan 24 sesi semasa siasatan awam memanggil 26 saksi untuk memberi keterangan.

“Terdapat 22 sesi terbuka dan dua sesi tertutup kerana saksi mahu kekal tanpa nama dan terdapat juga dokumen sulit.”

Ketua Pesuruhjaya Suhakam Hishamudin Yunus berkata panel itu akan meneliti semua bukti dan kenyataan yang dikemukakan.

“Kami akan berusaha untuk membuat keputusan secepat mungkin. Urusetia akan memaklumkan tarikh keputusan itu,” katanya di ibu pejabat Suhakam hari ini.

Panel Suhakam dipengerusikan oleh Hishamudin dan dibantu oleh pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.

Kehilangan Joshua dan Ruth dilaporkan oleh rakan mereka Peter Pormannan yang mengenali pasangan itu sejak 2012. 

Beliau membuat laporan polis pada 6 Mac 2017 selepas tidak mendengar khabar daripada Joshua selama berbulan-bulan.

Keluarga Ruth juga datang ke Malaysia untuk membuat laporan rasmi kehilangan orang pada 28 Februari 2018.

Lebih setahun kemudian, polis mendakwa tiada petunjuk.

Kehilangan Ruth dan Joshua adalah satu daripada tiga kes orang hilang berprofil tinggi. Dua lagi melibatkan Koh dan Amri. – 20 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen