Selepas 5 tahun hilang, keluarga Ruth Sitepu rayu jasadnya dipulangkan


Ruth Sitepu dan suaminya Pastor Joshua Hilmy kali terakhir dilihat pada 30 November 2016. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2021.

GENAP lima tahun kehilangannya hari ini, keluarga wanita Indonesia Ruth Sitepu yang hilang bersama suaminya Pastor Joshua sejak 2016 merayu supaya jasadnya dipulangkan.

“Ruth adalah saudara kandung kami, beliau ada keluarga. Walau apa pun yang terjadi padanya, kami cuma mahukan pengakhiran. Tolong pulangkan jasadnya kepada kami.

“Tiada siapa yang boleh lenyap begitu sahaja, hilang dengan tiba-tiba,” kata keluarga Ruth dalam kenyataan.

Ruth dan Joshua kali terakhir dilihat pada 30 November 2016. 

Semenjak itu keluarga Ruth tidak pernah mendengar khabar berita dari Ruth dan suaminya.

“Kami juga gagal menghubungi mereka. Tiada siapa tahu di mana mereka berada.

“Ruth seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Dia datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan dan menyara kami, kemudian hilang bersama suaminya. Dia tak akan hilang dengan tiba-tiba. Walaupun selepas berkahwin dan berhijrah ke Malaysia, Ruth sering menelefon dan menghantar pesanan teks,” tambah mereka.

Dalam pada itu mereka turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kerana menjalankan siasatan atas kehilangan Ruth dan Joshua.

Keluarga itu berharap siasatan akan dapat merungkai misteri kehilangan pasangan suami isteri berkenaan.

Siasatan tersebut dimulakan pada 18 Februari tahun lalu, tiga tahun selepas Ruth dan Joshua hilang, selepas siasatan polis menemui jalan buntu.

Kenyataan keluarga itu juga merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (Kontras) dan Kementerian Luar Negeri Indonesia yang turut terlibat dalam usaha mencari Ruth.

Kehilangan Ruth dan Joshua dilaporkan kepada polis oleh rakan pasangan itu, Peter Pormannan, yang dikenali sejak 2012. Peter membuat laporan pada 6 Mac 2017 selepas berbulan-bulan tidak mendengar khabar berita dari Joshua.

Keluarga Ruth turut datang ke Malaysia untuk membuat laporan polis pada 28 Februari 2018. Lebih setahun kemudian, polis memaklumkan siasatan menemui jalan buntu.

Selain kehilangan pasangan suami isteri itu dua lagi individu hilang disiasat Suhakam iaitu Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Selepas siasatan awam dijalankan, Suhakam membuat kesimpulan bahawa Raymond dan Amri adalah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan pasukan polis Cawangan Khas. – 30 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen