POLIS tidak menemui sebarang aktiviti pembaptisan yang dibuat oleh Pastor Joshua Hilmy dan isterinya yang hilang, Ruth Sitepu dalam siasatan mereka, demikian seperti didengar siasatan awam Suhakam hari ini.
ASP Zulfadhly Yacob yang merupakan bekas pegawai penyiasat kes pasangan hilang itu berkata, siasatannya tidak memberi petunjuk mengenai kegiatan tersebut.
“Siasatan saya tidak menuju ke arah itu (menyiasat aktiviti pembaptisan),” katanya kepada panel Suhakam.
Zulfadhly berkata demikian menjawab soalan Ketua Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus yang bertanya jika ada aktiviti pembaptisan di rumah pasangan itu di Kampung Tunku.
Hishamuddin telah menyoal saksi adakah beliau jumpa sebarang bukti aktiviti pembaptisan dalam siasatannya.
Pegawai yang kini bertugas di balai polis daerah Ampang itu berkata tugasnya adalah memberi tumpuan kepada orang hilang.
“Saya tidak ada petunjuk kepada sebarang aktiviti pembaptisan.”
Pada Januari, seorang saksi memberitahu panel Suhakam beliau telah dibaptis tanpa sedar ketika mendapatkan rawatan spiritual dari Joshua.
Iqbal Mirza Mohd Jalaluddin berkata, beliau dan isterinya, Fadzlina Amran diperkenalkan dengan Joshua oleh seorang temannya pada Januari 2015 setelah pasangan itu “sakit spiritual” berikutan perkahwinan mereka pada 2001.
Iqbal berkata, beliau dan isterinya menceritakan masalah mereka kepada Joshua sebelum mereka dimandikan oleh Joshua.
Mengingat kembali, Iqbal berkata, Joshua telah membaca beberapa ayat ketika itu, malah nama “Jesus” turut disebutkan dalam upacara tersebut.
Zulfadhly berkata beliau telah ambil keterangan dari Iqbal.
“Mereka (pasangan) berkata cuma jumpa Joshua untuk rawatan tradisional.”
Peguam Philip Koh yang mewakili keluarga Ruth, bertanya kepada Zulfadhly apa yang mereka katakan tentang rawatan itu dan adakah mereka sebut tentang pembaptisan atau ada kata-kata suci yang dituturkan.
Zulfadhly berkata beliau tidak dapat ingat apa yang telah terjadi dan perlu semak semula kertas siasatan.
Koh kemudian bertanya kepada Zulfadhly adakah beliau ada teori mengenai kehilangan pasangan itu.
“Adakah mereka hilang atau di mana mereka hilang? Adakah anda jumpa sebarang ciri-ciri yang mereka ada?”
Zulfadhly berkata beliau hanya (ditugaskan) menyiasat kehilangan mereka.
“Kami ikut semua SOP untuk kesan orang yang hilang. Jadi, bila kami selesai siasat, barulah kami dapat kemukakan teori.”
Pada 2018, dua tahun selepas kehilangan pasangan itu, adik beradik Ruth membuat laporan kehilangan mereka.
Keluarga Ruth berasal dari kampung nelayan Nambiki di Sumatera, Indonesia.
Panel Suhakam diketuai Hishamuddin dan dibantu pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.
Sebelum ini, panel Suhakam yang lain, membuat siasatan serupa mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.
Selepas siasatan menyeluruh dibuat, panel itu menyimpulkan Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab atas kehilangan Koh, seorang paderi Kristian, dan Amri, seorang aktivis sosial Muslim.
Tidak ada yang dituduh menculik kedua-duanya.
Undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mendefinisikan kehilangan paksa seperti ketika seseorang secara diam-diam diculik atau dipenjarakan oleh negara atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan negara atau organisasi politik. – 18 Ogos, 2021.
Komen