Suhakam diberitahu tiada rekod pastor yang hilang masuk atau keluar negara


Noel Achariam

Tiada rekod Pastor Joshua Hilmy yang hilang meninggalkan negara ini antara 2015 dan 2020, Suhakam diberitahu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2021.

TIADA rekod Pastor Joshua Hilmy yang hilang meninggalkan negara ini antara 2015 dan 2020, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diberitahu hari ini. 

Pegawai Jabatan Imigresen Junainh Dalugamin berkata rekod terakhir yang mereka ada mengenai Joshua adalah ketika beliau memohon pasport di Pulau Pinang. 

“Pasport itu sah dari 24 November, 2015 hingga 24 November, 2020. 

“Tiada rekod dalam sistem Imigresen yang menunjukkan beliau menggunakan pasport itu untuk keluar atau masuk ke negara ini,” kata Junainh pada siasatan awam kehilangan Joshua dan isterinya Ruth Sitepu. 

Junainh memberitahu, berdasarkan semakan Imigresen sebelum ini, Joshua tiba di Bangunan Sultan Iskandar di Johor pada 23 Julai, 2011 namun tiada butiran pelepasan. 

“Pada 1 Disember, 2011 beliau direkodkan di Imigresen di lapangan terbang Kota Kinabalu dan Merapok di sempadan Sabah dan Sarawak namun tiada butiran pelepasan dalam sistem.”

Menurutnya, berdasarkan rekod mereka beliau berlepas dari KLIA pada 28 Disember, 2011 namun tiada rekod beliau kembali dalam sistem.

Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus kemudian bertanya Junainh mengenai rekod kemasukan. 

“Mengapa tiada rekod? Bukankah sistem mengesan orang yang keluar dan masuk?”

Junainh berkata butiran yang dibentangkan kepada Suhakam adalah maklumat dalam sistem mereka. 

“Jika beliau ke Sabah atau Sarawak, kita ada maklumat itu. Jika beliau kembali kita tiada rekod itu kerana kita tidak cop pasport. 

“Saya tidak boleh berikan gambaran jelas. Mungkin ada masalah dengan sistem (Imigresen) atau mungkin beliau gunakan dokumen lain.

“Namun saya tidak dapat mengesahkannya.”

Hishamuddin bertanya jika seseorang ke Kota  Kinabalu dan kemudian ke Merapok, adalah butirannya direkodkan.

“Mesti ada rekod orang yang masuk dan keluar?”

Junainh bersetuju sepatutnya ada rekod pergerakan namun tidak tahu mengenai pergerakan di Sabah dan Sarawak. – 6 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen