Bekas pegawai kanan polis ugut tinggalkan inkuiri kes kehilangan pastor


Noel Achariam

Suhakam sedang menjalankan inkuiri awam bagi menyiasat kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2021.

SEORANG bekas pegawai kanan polis mengugut untuk beredar dari inkuiri awam bagi menyiasat kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu hari ini selepas sekali lagi ditanya soalan yang sudah dijawab sebelum ini.

Bekas penolong pengarah Cawangan Khas Awaludin Jadid bertindak demikian ketika disoal mengenai ucapannya berkenaan kegiatan Syiah pada 2016.

“Kenapa isu ini (Syiah) dibangkit semula? Saya sudah jawab semasa inkuiri sebelum ini (kehilangan Amri Che Mat).

“Saya rasa seperti hendak keluar dari sini. Boleh rujuk transkrip yang lepas,” katanya dengan nada berang pada inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Awaludin berkata demikian ketika disoal berkenaan ucapannya pada ceramah di Seminar Belia Menentang Keganasan pada 2016, di mana beliau berkata terdapat keperluan segera untuk menangani penyebaran fahaman Syiah yang meningkat di negara ini.

Pesuruhjaya Suhakam Hishamudin Yunus kemudian meminta Awaludin supaya bertenang.

“Kamu masih mewakili imej polis. Apa sahaja jawapan yang kamu beri, kami akan masukkan ke dalam kesimpulan kami nanti,” katanya.

Awaludin memberitahu inkuiri, ucapannya pada 2016 bertujuan untuk mengingatkan umat Islam supaya menguatkan iman mereka.

Beliau juga berkata Joshua, seorang Melayu Muslim yang kemudian menukar agama kepada Kristian dan isterinya Ruth bukan berada di bawah pantauan jabatannya.

Hishammuddin kemudian ditanya jika beliau mempunyai data mengenai orang Islam yang menukar agama.

Awaludin berkata isu berkaitan murtad berada di bawah bidang kuasa jabatan agama.

“Kami (polis) serahkan kepada mereka (jabatan agama). Mereka yang akan ambil tindakan selanjutnya.” – 6 Januari, 2021.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen