RoS tolak pendaftaran parti Sains, kata pemimpin penaja


RoS tolak permohonan Parti Aspirasi Sains Malaysia untuk berdaftar sebagai sebuah pertubuhan politik, kata parti itu. – Gambar Facebook, 23 Januari, 2022.

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak permohonan Parti Aspirasi Sains Malaysia (Sains) untuk berdaftar sebagai sebuah pertubuhan politik, kata parti itu.

RoS memaklumkan penolakan itu kepada mereka, tujuh bulan selepas permohonan dibuat, melalui emel Jumaat lepas, kata pejabat komunikasi dan media Sains.

“Tetapi jabatan tersebut tidak memberikan sebarang sebab atas penolakan tersebut,” kata kenyataan itu.

“Sains mengecam sekeras-kerasnya keputusan RoS untuk menolak permohonan kami tanpa memberikan sebarang alasan yang sah.”

Sementara itu, Setiausaha Agung penaja Sains Afiq Harraz berkata badan eksekutif pusat parti akan menggunakan semua saluran undang-undang untuk mempertahankan hak mereka untuk bebas berpersatuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Sains akan mengemukan rayuan kepada RoS terhadap keputusan jabatan itu dan kita berharap keputusan rayuan ini akan dibuat dan dimaklumkan kepada kami secepat mungkin,” katanya.

Dua parti baharu iaitu Pejuang dan Muda juga lulus pendaftarannya selepas mencabar keputusan RoS dan menteri dalam negeri menolak permohonan mereka sebelumnya.

Sains mengemukakan permohonan untuk berdaftar sebagai parti politik pada 9 Jun, 2021.

Parti itu berpangkalan di Sarawak, menjadikannya parti politik nasional pertama dari wilayah itu.

Ia juga merupakan parti berasaskan sains pertama di Malaysia, dan yang ketiga di dunia, yang bermula asalnya sebagai gurauan di Twitter terhadap parti Islam PAS.

Dalam satu acara parti pada September 2021, Afiq berkata dalam tempoh tiga bulan bulan pertama, pihaknya menerima permohonan ahli daripada hampir 700 orang dan membuka empat cawangan parti. – 23 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen