Parti berasaskan sains pertama di Malaysia belum dapat kelulusan RoS


Ravin Palanisamy

PARTI Aspirasi Sains Malaysia (SAINS), yang merupakan parti berasaskan sains pertama di negara ini masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Bercakap pada kongres SAINS pertama malam tadi setiausaha agung pro-term parti Afiq Harraz berkata status pendaftaran mereka dengan RoS masih dalam senarai menunggu walaupun permohonan pendaftaran dibuat pada 9 Jun.

“RoS sedang memproses permohonan pendaftaran, yang merupakan petanda baik dan untuk susulan, kami akan menghantar surat kepada mereka dan juga akan menyalinnya kepada ketua pengarah jabatan dan juga kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin untuk meminta kemas kini status,” katanya pada kongres maya Simposium SAINS.

Bermula di Twitter hanya sebagai bahan satira kepada parti Islam PAS, SAINS telah menjadikan dirinya sebagai parti berasaskan sains pertama di Malaysia dan yang ketiga di dunia.

Ibu pejabat rasmi parti itu berpusat di Sarawak, yang bermaksud ia juga merupakan parti politik nasional pertama yang keluar dari Sarawak.

Hanya dalam tempoh tiga bulan sejak penubuhannya, parti ini memiliki lebih dari 690 anggota dan ia semakin bertambah serta memiliki empat cabang.

Empat cabang berkenaan adalah Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur dan Utara - terdiri daripada Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Afiq berkata, sementara mereka menunggu kelulusan dari RoS, Badan Eksekutif Pusat (BEP) dan ketua cabang masing-masing sedang membincangkan strategi keahlian, komunikasi, penglibatan awam dan strategi pemasaran parti.

Beliau berkata penekanan perlu diberikan pada usaha akar umbi yang mantap untuk menjangkakan penglibatan aktif dalam pilihan raya akan datang.

“Sebaik sahaja kita keluar dari wabak Covid-19 ini, kita akan terus keluar dan memperkenalkan SAINS kepada masyarakat untuk menambah dan mengembangkan parti sebagai langkah untuk memperkuat asas parti supaya kita dapat memastikan kesinambungan usaha eksekutif BEP dan cabang semasa.

“Apabila kita mempunyai cukup anggota dalam parti, kita akan memecahkan cabang-cabang yang kita miliki mengikut kawasan Parlimen bagi memudahkan persiapan untuk pilihan raya, tidak kira pilihan raya negeri Sarawak atau Pilihan Raya Umum ke-15 atau ke-16, yang akan kita hadapi selepas diluluskan,” katanya.

Sementara itu presiden proterm dan pengasas SAINS Kenneth Chai berkata beliau yakin parti itu akan diluluskan tidak lama lagi.

“Saya menjangkakan RoS menolak permohonan kami seperti yang mereka lakukan kepada Pejuang dan Muda. Dalam kes itu, setidaknya kami dapat membuat rayuan tetapi sekarang status kami masih dalam senarai menunggu.

“Namun kami akan menhantar surat untuk bertanya mengenai perkembangannya,” katanya.– 7 September, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen