KETUA Penerangan Umno Shahril Hamdan mempersoalkan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang mengisytiharkan penangguhan pemilihan Umno sebagai tidak sah.
“Keputusan yang tidak dapat dijelaskan” itu tidak masuk akal kerana Umno tidak dapat mengadakan pemilihan yang melibatkan lebih daripada 20,000 cawangan ketika negara merekodkan puluhan ribu kes Covid-19 setiap hari.
“Ia tidak masuk akal dari sudut praktikal. Tidak masuk akal dari sudut kesihatan dan keselamatan. Hanya masuk akal politik tertentu.”
Semalam, RoS mengisytiharkan keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah, kerana keputusan itu dibuat oleh majlis tertinggi parti pada 8 Julai, sedangkan tempoh penggal majlis berkenaan tamat pada 30 Jun.
Pemilihan bagi pemegang jawatan untuk majlis tertinggi, bahagian, dan cabang dijadualkan berlangsung pada 7 Julai.
Shahril berkata berlaku double standard dalam keputusan RoS, dan berkata parti politik lain dibenarkan untuk menangguhkan pemilihan parti mereka.
Beliau berkata Umno telah mengikut prosedur dalam memohon pemilihan parti ditangguhkan selama 18 bulan, dan menambah setiausaha agung parti Ahmad Maslan akan memberi maklum balas kepada RoS.
“Peguam Umno menasihati setiausaha agung dan semua proses sewajarnya akan menyusul.”
Semalam, bekas presiden Umno Najib Razak membidas keputusan RoS dan berkata bahawa ia juga membatalkan majlis tertinggi itu sendiri.
Najib menuduh kerajaan Perikatan Nasional mmpergunakan RoS sebagai alat untuk membalas dendam terhadap Umno selepas parti itu memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.– 7 Ogos, 2021.
Komen