Mahkamah perintah menteri daftar Muda


KDN diarah mendaftarkan Muda dalam tempoh 14 hari, sekali gus menamatkan perjuangan pendaftaran parti baharu itu sejak September 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin supaya mendaftarkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebelum akhir bulan ini, sekali gus menamatkan perjuangan pendaftaran parti baharu itu sejak September 2020.

Dalam mesej di Twitter rasminya, Muda memaklumkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar semakan kehakiman selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sebelum ini menolak permohonan mereka.

“Hakim telah membuat keputusan berpihak kepada kita,” tulis Muda di Twitter.

Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin memerintahkan menteri dalam negeri mendaftarkan Muda dalam masa 14 hari serta membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

Peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Muda berkata mahkamah menolak alasan menteri dalam negeri kononnya pendaftaran parti itu akan menjejaskan keselamatan negara.

“Kami harap kerajaan tidak akan merayu keputusan ini dan membenarkan Muda didaftar, agar demokrasi dan perjuangan anak muda boleh diteruskan,” katanya, yang juga pengasas parti itu, dalam sidang media selepas keputusan mahkamah.

Presiden penaja Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menyifatkan keputusan ini bukan saja kemenangan buat Muda tetapi demokrasi di Malaysia.

“Keputusan hari ini bukan ingin memusnahkan Malaysia, tetapi membangunkan negara, memperkasa politik khidmat, mengangkat suara anak muda dan membina negara seperti sebuah rumah yang mewakili seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Awal tahun ini, RoS memaklumkan Muda permohonan pendaftarannya ditolak. RoS juga pada masa itu menolak pendaftaran Pejuang, yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad.

Pada 8 Julai, Dr Mahathir mengumumkan RoS meluluskan pendaftaran Pejuang, juga selepas arahan mahkamah sama seperti yang diperolehi Muda hari ini.

Dua parti ini adalah serpihan daripada Bersatu selepas Dr Mahathir dan Syed Saddiq serta beberapa lagi yang lain tersingkir dari parti kerana tidak bersetuju dengan jalan politik yang diambil presidennya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin sebelum itu membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan pada hujung Februari 2020, menyebabkan kerajaan yang dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 jatuh. – 14 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen