JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak menolak permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai parti politik, kata pemimpin dua parti itu.
Kedua-dua parti menerima makluman penolakan daripada RoS melalui emel kira-kira pukul 5.50 petang semalam.
Pejuang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad sementara Muda digerakkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas mereka tersingkir dari Bersatu pada Mei tahun lalu susulan krisis dalaman parti.
Seorang pimpinan Muda mengesahkan penolakan RoS kepada The Malaysia Insight.
“Kita akan keluarkan satu kenyataan rasmi,” katanya yang mahu dipetik sebagai sumber parti.
Penolakan pendaftaran Pejuang pula disahkan oleh peguam bagi pihak parti kepada media apabila menarik balik tindakan mahkamah terhadap RoS yang sepatutnya didengar pada pagi ini.
Pejuang mengajukan permohonan kehakimannya pada 10 Desember bagi mendapatkan perintah mengenai status pendaftarannya.
Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah ketika itu berkata pihaknya mahu RoS membuat keputusan sama ada melulus atau menolak pendaftaran parti itu.
Dalam permohonan itu, Pejuang berkata tidak dapat mendaftarkan ahli baharu akibat pendaftarannya yang tertangguh, dan menambah parti ingin bersiap sedia untuk pilihan raya umum berikutnya yang diyakini akan diadakan tidak lama lagi.
Pada November, Dr Mahathir berkata beliau masih belum menerima kelulusan pendaftaran parti daripada RoS walaupun semua syarat sudah dipenuhi.
Beliau berkata kebenaran pendaftaran parti kini bergantung kepada menteri yang bertanggungjawab.
RoS adalah unit di bawah Kementerian Dalam Negeri dan menteri semasa adalah Hamzah Zainuddin daripada Bersatu.
Pejuang dibentuk oleh bekas ahli Bersatu yang berselisih faham dengan kepemimpinan selepas parti itu menarik diri daripada Pakatan Harapan pada akhir Februari, membawa kejatuhan kerajaan ketika itu. – 7 Januari, 2021.
Komen