JABATAN Pendaftaran pertubuhan Malaysia (RoS) hari ini meluluskan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai parti politik, umum pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.
Kelulusan itu dikeluarkan pada hari terakhir tempoh 14 hari yang diberi oleh mahkamah kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin untuk membuat keputusan terhadap permohonan pendaftaran Pejuang, katanya.
“Saya terima kelulusan (pendaftaran Pejuang) daripada ketua pengarah RoS dan juga daripada menteri.
“Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana dengan rasminya mendaftarkan parti ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan pimpinan kanan Pejuang.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Jun memberi masa 14 hari kepada Hamzah untuk membuat keputusan berhubung permohonan pendaftaran Pejuang
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata tempoh lima setengah bulan yang berlalu sejak Pejuang mengemukakan rayuannya pada bulan Januari 2021 adalah melebihi masa yang sepatutnya untuk menteri membuat keputusan.
Dalam tempoh menunggu kelulusan pendaftaran itu, RoS pada suatu ketika mengeluarkan amaran kepada Pejuang untuk menghentikan semua aktiviti keahlian serta tidak menggunakan logo parti.
Pejuang mempunyai empat wakil di Dewan Rakyat dan seorang senator di Dewan Negara.
Empat anggota rakyat Pejuang ialah Dr Mahathir (Langkawi), presiden parti Mukhriz Mahathir (Jerlun), setiausaha agung Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), dan Shaharuddin Md Salleh (Sri Gading), yang juga pengerusi parti di Johor.
Senator Pejuang di Dewan Negara ialah timbalan presiden parti Marzuki Yahya.
Pejuang adalah serpihan daripada Bersatu selepas Muhyiddin Yassin membawa parti yang diasaskan bersama dengan Dr Mahathir itu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan pada Februari 2020.
Tindakannya itu, yang juga dikenali sebagai Langkah Sheraton, menyebabkan pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 tumbang.
Dr Mahathir dan pengasas Pejuang yang lain kemudian dikenakan tindakan dilucut keahlian parti kerana tidak menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri kerajaan yang baharu. – 8 Julai, 2021.
Komen