Parti baharu mohon pendaftaran rasmi esok


Hailey Chung Wee Kye

Parti Aspirasi Sains Malaysia (Sains) akan secara rasmi menghantar permohonan ke RoS untuk menjadi parti nasional, kata presidennya Kenneth Chai. – Gambar Twitter, 8 Jun, 2021.

PARTI politik baharu yang bermula sebagai gurauan untuk mempersenda PAS akan memohon untuk mendaftar secara rasmi dengan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) esok.

Parti Aspirasi Sains Malaysia (Sains) akan secara rasmi menghantar permohonan ke RoS untuk menjadi parti nasional, kata presidennya Kenneth Chai.

Guru STEM berusia 33 tahun di Kuching itu sering memuat naik, mengkritik dan berdebat mengenai sains menerusi Twitter selain peka mengenai isu politik.

Pada 21 Mei, dia menerima pesanan peribadi daripada seorang ahli PAS untuk berhenti menyalahgunakan nama parti itu selepas Chai mengulas keputusan dan tindakan politik mereka.

Tindakan ahli PAS itu mendorong Chai melancarkan Parti Ajaran Sains (PAS) sebagai parodi.

Dia mendesak orang lain untuk bergabung dengan partinya mewakili kawasan masing-masing dan memulakan perbincangan dengan wakil mereka mengenai isu-isu semasa.

“Saya membuka borang google untuk mengumpulkan nama dan menerima 400 hingga 500 pendaftaran, kami bahkan memulakan kabinet bayangan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

“Kami mengadakan beberapa sesi clubhouse dan tidak lama kemudian orang mula bertanya, ‘kenapa kita tidak melakukan ini secara nyata?’,” katanya.

Chai berkata motivasi itu berterusan apabila dia menyedari ramai rakyat Malaysia tidak menyokong mana-mana parti politik hari ini.

“Parti-parti yang ada kebanyakannya berdasarkan bangsa, agama atau parti yang menumpukan untuk menjadikan seorang tokoh sebagai perdana menteri. Sebilangan besar juga dipenuhi lelaki berusia,” katanya.

Sains pada masa ini mempunyai kira-kira 250 orang yang mendaftar sebagai calon ahli dan 15 ahli jawatankuasa dalam badan eksekutif.

Ahli terdiri daripada 47.6% wanita dan 52.4% lelaki. Majoritinya adalah Melayu (51.1%) dengan campuran Cina (32.9%), India (11.5%) dan lain-lain (4.5%). – 8 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen