SEBUAH keluarga India di Karak, Pahang hancur luluh apabila mereka tidak mempunyai bekalan air untuk menjalankan upacara pengebumian yang sempurna bagi anak lelaki mereka berusia 10 tahun yang lemas dalam banjir di negeri itu baru-baru ini.
Bagaimanapun, kesengsaraan mereka berakhir apabila tangki air 45,000 liter tiba tepat pada masanya, membolehkan keluarga budak lelaki itu melakukan upacara tersebut.
Air bersih yang dibekalkan oleh Sidhu Brothers - sebuah syarikat pengangkut minyak sawit dan air - datang beberapa jam selepas mayat kanak-kanak malang itu ditemui oleh penyelamat.
Episod itu mengharukan dan memberi inspirasi kepada Sidhu Brothers, yang berjanji untuk berkhidmat kepada mangsa banjir di negara ini dengan air bersih selagi ia diperlukan.
Mereka segera bergabung tenaga dengan Rotary Club Malaysia dan Hug a Tree - sebuah organisasi alam sekitar - untuk menghantar ribuan liter air percuma kepada mangsa sejak banjir melanda negara.
“Keluarga sangat berterima kasih, mereka menghantar hamper kepada kami untuk menunjukkan rasa terima kasih. Namun kami terharu dengan kejadian itu. Bayangkan betapa pentingnya air untuk kita semua.”
“Walaupun dalam perjalanan terakhir, kita memerlukan air. Kami berasa rendah diri kerana berjaya membantu keluarga kecil itu dan disebabkan kejadian itu, kami berikrar untuk membantu lebih ramai mangsa banjir.”
“Kami akan meneruskannya sehingga ia diperlukan. Inisiatif ini dimulakan oleh mendiang bapa kami bertahun-tahun yang lalu apabila kami membekalkan air ke rumah ibadat yang terjejas sama ada masjid atau kuil,” kata pengarah komersial syarikat Jimmy Sidhu.
Jimmy berkata beliau menerima banyak panggilan daripada ahli politik serta individu yang meminta bekalan air di Selangor dan Pahang.
Setakat ini, beliau sudah menghantar 11 tangki air dengan bekalan air berterusan ke beberapa kawasan terjejas di kedua-dua negeri sejak 10 hari lalu.
“Kami memberi air secara percuma dan ia masih diteruskan. Setakat ini 11 tangki sudah dihantar yang kebanyakannya ke Pahang seperti di Karak, Bentong dan Mentakab.”
“Kami turut dibantu dan disokong oleh Rotary Club Malaysia dan NGO baharu bernama Hug a Tree dengan saya adalah ahli pro tem,” tambahnya.
Jimmy memberitahu The Malaysian Insight yang beliau terpaksa membeli air daripada agensi air sambil menambah proses itu kadangkala menyusahkan.
“Kos perjalanan saya ialah RM1,500 hingga RM2,000 termasuk membeli air.”
Agensi negeri patut beri air percuma semasa kecemasan
Beliau berkata mendapatkan bekalan air untuk tujuan kemanusiaan kadangkala boleh menjadi mimpi ngeri kerana terdapat begitu banyak prosedur yang perlu diikuti.
Beliau turut mempersoalkan kurangnya penyelarasan antara agensi negeri dan kerajaan negeri.
“Ia adalah mimpi ngeri bagi kami apabila berurusan dengan agensi air. Anda perlu melakukan ini dan itu untuk membeli air yang akan digunakan oleh orang yang memerlukan.”
“Kadang-kala saya tidak faham mengapa mereka tidak dapat memberikan air secara percuma kepada mangsa. Ini adalah kecemasan dan mengapa tiada penyelarasan antara agensi dan kerajaan negeri.”
“Jadi untuk mengelak perkara menjadi rumit, kami membeli air itu. Jika kami terus membiarkannya berlarutan, menghantar surat dan membuat panggilan untuk mendapatkan air secara percuma, mangsa terpaksa menunggu lebih lama untuk proses itu,” katanya.
Sementara itu, Jimmy mempersoalkan ketiadaan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menghantar air bagi mangsa banjir.
Dengan aset mereka, beliau berkata ia sekurang-kurangnya dapat membantu lebih ramai mangsa yang menghadapi kesusahan akibat kekurangan bekalan air.
“Anda lihat, tangki air saya besar, ia boleh membawa 45,000 liter air dan tangki saiz ini tidak boleh masuk ke jalan kecil yang teruk dilanda banjir.”
“Jika pihak Bomba boleh menggunakan aset mereka, ia boleh membantu rakyat, meringankan beban mereka. Bila nak guna aset kalau bukan dalam keadaan begini,” tegasnya.
Beliau berkata ahli Parlimen Pakatan Harapan negeri di Pahang menghubungi beliau untuk mendapatkan bekalan air.
“Ada antara mereka yang menelefon dan meminta bekalan air yang kami hantar dan untuk perjalanan ini, air yang kami isi dalam tangki dibayar oleh wakil rakyat negeri.”
Beliau berkata penduduk Sri Muda Shah Alam tidak menghubungi mereka.
“Sebab saya rasa bekalan air mereka tidak terjejas dan ada bekalan berterusan di mana mereka boleh mendapatkannya secara terus.
“Di tempat yang kami pergi seperti di Pahang, tiada bekalan air. Bekalan terputus,” katanya lagi.
Sri Muda adalah antara kawasan paling teruk dilanda banjir di Selangor. Ribuan keluarga hilang tempat tinggal akibat bencana itu.
Dilaporkan hari ini Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara mengeluarkan ramalan awal banjir mulai 31 Disember untuk Kelantan dan Terengganu dan 1 Januari bagi Pahang dan Johor.
Pusat itu yang terletak di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan ramalan itu susulan amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.
Sekurang-kurangnya 48 orang maut akibat banjir di seluruh negara dengan lima masih hilang.
Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 25 orang, diikuti Pahang (20) dan Kelantan (3). – 30 Disember, 2021.
Komen