Sabah wajibkan pemandu, penumpang pengangkutan awam lengkap vaksinasi Covid-19


Mulai 16 September, semua pemandu dan petugas pengangkutan awam seperti bas henti-henti dan bas sekolah, teksi serta perkhidmatan e-hailing di Sabah mesti lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2021.

KERAJAAN negeri Sabah semalam mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara bagi individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 antaranya membabitkan sektor pengangkutan, rekreasi dan industri kreatif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata mulai 16 September, semua pemandu dan petugas pengangkutan awam seperti bas henti-henti dan bas sekolah, teksi serta perkhidmatan e-hailing hendaklah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Semua penumpang juga hendaklah lengkap divaksin dan berisiko rendah Covid-19 pada aplikasi MySejahtera… bas henti-henti dan bas sekolah dibenarkan dengan 50% penumpang manakala teksi dan perkhidmatan e-hailing dibenarkan dengan maksimum dua orang termasuk pemandu.

“Semua perkhidmatan pengangkutan awam ini melibatkan daerah yang sama adalah dari 5 pagi hingga 10 malam dengan pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan itu serta pemakaian pelitup muka,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata Institut Latihan Pemanduan kenderaan bermotor dibenarkan beroperasi secara janji temu dengan ujian pemanduan untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan bermotor dibenarkan mulai 17 September.

“Semua pekerja, tenaga pengajar dan calon hendaklah telah lengkap divaksin manakala syarikat pengendali hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 80%,” katanya.

Masidi juga berkata mereka yang lengkap divaksin dibenar melakukan aktiviti rekreasi air seperti renang, kayak, selam skuba, selam snorkel, berjalan di dasar laut, meluncur jet dan seumpamanya secara individu dengan syarat mematuhi penjarakan fizikal.

Beliau berkata penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dibenarkan dengan kehadiran penonton yang lengkap divaksin serta kapasiti penonton 30% di ruang studio agensi dan syarikat penyiaran sahaja.

Katanya penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio serta busking di luar atau di dalam premis juga persembahan di ruang istirahat hotel dibenarkan bagi mereka yang telah lengkap divaksin.

“Setakat 9 September, sebanyak 49.5% penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan pengambilan vaksin Covid-19 dan 65.8% lagi telah memperoleh satu dos vaksin,” katanya.

Masidi juga berkata Sabah semalam mencatat 2,246 kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 169,983 dan 3,059 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 144,289 orang manakala 4,967 lagi sedang menerima rawatan. – Bernama, 11 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen