PROSES penghantaran vaksin Covid-19 ke kawasan pedalaman Sarawak masih jadi kebimbangan utama kerajaan negeri walaupun Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mendakwa latihan awal sebelum ini berjaya, kata Douglas Uggah Embas.
Usaha untuk menghantar bekalan vaksin Covid-19 ke kawasan pedalaman yang tiada akses pengangkutan pada masa yang sama memastikannya selamat tiba adalah cabaran yang amat sukar, tambah timbalan ketua menteri Sarawak itu, dalam program Twenty30 di TV Sarawak malam tadi.
Adham pada bulan lalu berkata aktiviti dry run atau sesi latihan awal penghantaran vaksin Covid-19 ke kawasan pedalaman Belaga di Kapit berjaya dijalankan.
Bagaimanapun, perjalanan ke Belaga bukanlah mudah kerana ia terletak 178km atau empat jam perjalanan dari bandar terhampir iaitu Bintulu melalui jalan darat.
Vaksin Pfizer-BioNTech perlu disimpan dalam pembeku suhu ultra rendah pada suhu -75°C. Jangka hayat vaksin itu hanya bertahan selama lima jam sebaik sahaja dikeluarkan dari pembeku yang digunakan semasa mengangkut.
Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata proses mengangkut vaksin dari salah satu daripada tujuh pembeku suhu ultra rendah ke negeri itu dalam tempoh lima jam ke kawasan terpilih telah dirancang dengan teliti sejak kerajaan mengumumkan pelancaran program vaksinasi.
JPBNS peringkat bahagian telah diarahkan merangka pelan tindakan yang sesuai mengikut kawasan masing-masing.
“Pengangkutan jenis apa yang perlu digunakan supaya vaksin tiba ke destinasi yang disasarkan dalam tempoh lima jam.”
Proses untuk mengangkut vaksin juga memerlukan tenaga kerja yang ramai, katanya.
Selain itu, JPBNS turut mengkaji masalah yang dihadap negara-negara lain dalam pelaksanaan program pemberian vaksin Covid-19 termasuk memendekkan masa menunggu mendapatkan suntikan dan ruang menunggu yang selesa. – 23 Februari, 2021.
Komen