MAJORITI rakyat Malaysia masih bimbang untuk menggunakan pengangkutan awam berikutan pandemik Covid-19, menurut kajian.
Hasil kajian WapCar menunjukkan 57.9% daripada 318 responden menyatakan mereka tidak akan menggunakan pengangkutan awam manakala 32.7% menyatakan mereka akan gunakan pengangkutan awam walaupun bimbang dengan penularan virus itu.
55.4% lagi berkata mereka mempertimbangkan untuk membeli kereta dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Rakyat Malaysia dilihat bimbang dengan keselamatan mereka, mereka akan terus guna pengangkutan awam hanya kerana tiada pilihan,” menurut kajian itu.
Hasil kajian itu juga mendapati kebanyakan mereka yang bimbang memilih untuk memandu sendiri sebagai langkah keselamatan. Ada dalam kalangan responden memilih untuk mengurangkan perbelanjaan dan bajet untuk kereta.
“Hasil kajian itu turut mencerminkan trend jualan kereta yang mana permintaan untuk kenderaan terpakai menunjukkan peningkatan pada Jun. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan kadar jualan pada Jun 2020 meningkat 5% berbanding pada Jun 2019.
Pada masa yang sama, Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) mencatatkan pertumbuhan 100% tahun ke tahun dalam penjualan kereta terpakai pada bulan Jun.
Tambahnya, pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini turut membantu dalam peningkatan permintaan.
Hampir 47% responden menyatakan mereka sanggup untuk berbelanja kurang daripada RM100,000 bagi pembelian kereta.
“Harga dan diskaun akan mempengaruhi keputusan pembelian kereta dengan 83% responden menyatakan ia merupakan faktor penting ketika pandemik.
“Langkah kerajaan mengecualikan cukai jualan bagi meningkatkan industri automotif dilihat sebagai langkah yang betul, sejajar dengan keperluan rakyat.”
Menurut data WapCar dari 9 Mac hingga 30 Jun, terdapat peningkatan dalam pencarian model kereta yang praktikal dan harga patut, yang mana ia menunjukkan rakyat mencari tawaran yang terbaik.
Sembilan daripada 10 pencarian kereta bermula dengan harga di bawah RM100,000. Ini termasuk untuk model seperti Honda City, Nissan Almera, Perodua Bezza, Perodua Axia, Perodua Aruz, Proton X50, Proton X70, Proton Saga, dan Toyota Vios.
Spesifikasi dan prestasi (74%) juga penting begitu juga dengan ketahanan dan penjimatan bahan api (63%), menurut kajian itu.
Kira-kira 70% responden berkata mereka bimbang dengan situasi ekonomi yang menjejaskan keputusan mereka untuk membeli kereta baharu.
Tambahan pula, hampir 50% daripada mereka lebih berhati-hati dalam berbelanja dan memilih untuk menyimpan bagi kegunaan ketika kecemasan daripada membeli barangan mahal seperti kereta dalam tempoh enam bulan akan datang, katanya.
“Dalam menghadapi saingan sengit daripada kereta terpakai yang murah, kereta berjenama perlu tingkatkan khidmat pelanggan mereka bagi mempengaruhi rakyat untuk membeli kereta baharu.”
Sebilangan besar responden juga menyokong idea kemudahan dalam talian dan tidak perlu hadir secara fizikal di bilik pameran kereta.
Selain memilih bilik pameran dalam talian (42.1%) dan urusan kewangan mudah dalam talian (55%), lebih 59% daripada responden mahukan perkhidmatan pandu uji dari rumah ke rumah serta penghantaran daripada syarikat kenderaan.
Kajian itu dijalankan pada Julai yang menyasarkan untuk memahami kebimbangan pembeli kereta dan bagaimana industri automotif boleh memenuhi keperluan ini.
Ditubuhkan pada Julai, 2019, WapCar dikendalikan oleh Mobvoyage, dibiayai oleh eWTP Capital yang bekerjasama dengan Alibaba dan sebuah syarikat yang disenaraikan di NASDAQ.
Ia merupakan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai maklumat, pandangan, pendapat, kandungan yang diperoleh daripada pengguna berkaitan dengan pencarian, pembelian dan pemilikan kereta. – 10 Ogos, 2020.
Komen