Sister in Islam selar Putrajaya benarkan perkahwinan kanak-kanak


PUTRAJAYA memperjudikan masa depan gadis Islam dengan membenarkan perkahwinan kanak-kanak diteruskan, kata Sisters in Islam (SIS).

Menurut SIS, kerajaan sepatutnya membenarkan had umur perkahwinan minimum bagi gadis Islam dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

“Adakah kerajaan akan memperjudikan masa depan anak-anak dan anak muda Malaysia dengan gagal menjaga kebajikan mereka dan membenarkan perkahwinan kanak-kanak diteruskan?

“Kerajaan sepatutynya menjamin kesihatan, pendidikan, keselamatan, dan kebajikan semua kanak-kanak dan memupuk mentaliti Malaysia bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah tidak bertanggungjawab dan hanya akan merosakkan masa depan kanak-kanak,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

SIS berkata beberapa negara di rantau ini, termasuk Indonesia yang mempunyai paling ramai penduduk Islam di dunia, telah menaikkan had umur perkahwinan bagi wanita.

Pada 2019, Indonesia memansuhkan had umur perkahwinan kanak-kanak dengan menaikkan umur minimum pengantin perempuan daripada 16 kepada 19.

Menurut SIS, banyak negara Asean termasuk Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, dan Singapura, telah menetapkan umur perkahwinan pada usia 18 tahun. Thailand mempunyai umur perkahwinan yang lebih tinggi iaitu 20 tahun, tetapi umur perkahwinan Vietnam ialah 18 tahun untuk perempuan dan 20 tahun untuk lelaki.

SIS merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad di Parlimen semalam bahawa kerajaan akan mengekalkan had umur perkahwinan minimum bagi wanita Islam pada 16 tahun.

“Kenyataan Idris menunjukkan beliau tidak membaca dan tidak sensitif terhadap Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita 1995 (Cedaw) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1994 (CRC), yang menjamin dan melindungi hak wanita dan kanak-kanak di Malaysia,” kata SIS.

SIS berkata objektif utama wanita haruslah pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan agar mereka mencapai potensi penuh dan menjalani kehidupan yang lebih baik.

Malaysia kini merupakan negara berprestasi paling rendah dalam Laporan Jurang Gender Global 2021, menurut laporan itu.

Malaysia berada di kedudukan 112 daripada 156 negara. Pada masa yang sama, Malaysia menduduki tempat terakhir dalam Asean.

Myanmar (109), Kemboja (103), Indonesia (99), Vietnam (87) mempunyai kedudukan lebih baik daripada Malaysia.

“Jika Malaysia tidak menguruskan isu ini dengan betul, contohnya gagal menangani masalah perkahwinan kanak-kanak dengan lebih baik, Malaysia akan ketinggalan jauh dalam usaha mencapai kesaksamaan gender dan merapatkan jurang gender dalam indeks global,” katanya.

SIS mengingatkan kerajaan tentang kewajipannya di bawah 17 Matlamat Pembangunan Mampan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ini melibatkan usaha menghentikan diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, serta tradisi yang merosakkan seperti perkahwinan kanak-kanak.

Pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini melancarkan usaha meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun pada Januari 2020, sebagai sebahagian daripada Pelan Strategi Nasional Mengendalikan Punca Perkahwinan Kanak-Kanak.

Bagaimanapun, ia mendapat tentangan daripada beberapa negeri. Perkahwinan orang Islam ditadbir oleh negeri-negeri, dan sebarang pindaan undang-undang mesti diluluskan oleh kerajaan negeri masing-masing.

Selangor pula telah meminda undang-undang untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun dengan sokongan Sultan. – 17 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen