NGO kait kes wanita dipukul suami dengan asuhan sejak kecil


Diyana Ibrahim

Kajian Sisters In Islam dapati wanita bersikap demikian kerana wanita diajar sejak kecil supaya patuh kepada pasangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Oktober, 2019.

WANITA Islam merelakan dipukul suami kerana diajar sejak kecil supaya patuh kepada pasangan, kata NGO Sisters In Islam (SIS)

Pengarah Eksekutifnya Rozana Isa berkata demikian berdasarkan hasil kajian ke atas 675 wanita Islam yang dilancarkan NGO tersebut hari ini.

Katanya, kepatuhan membuta tuli itu perlu dihentikan kerana bertentangan dengan ajaran Islam kerana memberi ruang kepada penderaan oleh suami.

“Sifat patuh ini ditanam dari awal semasa kita membesar. Seperti contoh sejak kecil, wanita Islam di negara ini diajar patuh kepada suami.

“Walau anda tidak tahu rupa ke peribadinya bagus atau tidak tapi ini yang sering kali mereka diberitahu

“Jadi ini yang mereka percaya, mereka boleh dipukul kerana engkar. Ini harus dihentikan, kita perlu tukar naratif ini dan Islam tak sokong , tidak ada dalam ajaran Islam pun,” katanya.

Dalam sidang media itu, Rozana juga berkata naratif mengenai kepatuhan itu menjadi norma kebiasaan dalam masyarakat hinggakan tidak ada pihak berani mempersoalkan situasi tersebut.

Katanya sikap mendiamkan diri itu begitu parah hinggakan mufti terpaksa keluarkan fatwa menyatakan tidak salah jika isteri keluar tanpa kebenaran suami

“Wanita sudah ditanam dengan naratif ini. Ini adalah antara pemisahan antara jangkaan dan realiti yang dihadapi wanita Islam negara ini kerana paling penting ialah patuh kepada suami,” katanya.

Terdahulu NGO itu mendedahkan kajian yang mendapati masih ramai wanita percaya suami berhak memukul jika melakukan nusyuz atau derhaka.

Kaji selidik bertajuk “Persepsi dan Realiti Hak Umum dan Peribadi Wanita Islam di Malaysia” itu mendapati, 21% daripada 675 responden wanita Islam berpandangan sedemikian.

Menurut SIS peratusan itu membimbangkan kerana akan menyebabkan wanita tidak diberi pertimbangan dan membuka ruang ketidakadilan.

Satu lagi bahagian kajian itu mendapati, 97% wanita Islam setuju mereka mesti patuh kepada suami serta menjaga anak dan kepatuhan wanita diertikan sebagai isteri yang baik.

Kaji selidik yang dijalankan di seluruh negara itu dibentangkan dalam Persidangan Islam dan Hak Asasi Wanita: Kebangkitan Wanita Melawan Ektremis hari ini.

Persidangan selama empat hari itu dihadiri 150 peserta dan speaker dari seluruh negara. – 15 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen