Masih ramai wanita percaya suami berhak pukul jika derhaka, menurut kajian


Diyana Ibrahim

Kajian mendapati, 97% wanita Islam setuju mereka mesti patuh kepada suami serta menjaga anak dan kepatuhan wanita diertikan sebagai isteri yang baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2019.

MASIH ramai wanita percaya suami berhak memukul jika melakukan nusyuz atau derhaka, menurut satu kajian Sisters In Islam (SIS)

Kaji selidik bertajuk “Persepsi dan Realiti Hak Umum dan Peribadi Wanita Islam di Malaysia” itu mendapati, 21%  daripada 675 responden wanita Islam berpandangan sedemikian.

Menurut SIS peratusan itu membimbangkan kerana akan menyebabkan wanita tidak diberi pertimbangan dan membuka ruang ketidakadilan.

Satu lagi bahagian kajian itu mendapati, 97% wanita Islam setuju mereka mesti patuh kepada suami serta menjaga anak dan kepatuhan wanita diertikan sebagai isteri yang baik.

Maklum balas yang diterima melalui borang kaji selidik itu juga mendapati wanita keberatan membuat laporan keganasan rumah tangga termasuk isu rogol dalam perkahwinan.

Ia mendapati wanita berkenaan tidak mahu dianggap mengkhianat kepada suami dan bimbang dianggap oleh keluarga sebagai isteri yang tidak patuh.

Kaji selidik turut mendedahkan 88% responden setuju isteri boleh dianggap nusyuz jika isteri keluar rumah tanpa kebenaran.

Seramai 54% lagi responden setuju dianggap nusyuz jika enggan serumah dengan suami manakala 52% berhubung keengganan lakukan hubungan kelamin.

Seramai 52% percaya mereka dianggap nusyuz jika enggan membuka pintu untuk suami dan 46% percaya nusyuz jika enggan menjawab panggilan suami.

“Di bawah situasi ini mereka percaya suami akan memukul isteri. Mereka percaya ia adalah tindakan tidak patuh isteri dan suami dibenarkan untuk memukul.

“Ini bertentangan dengan apa digariskan dalam Al-Quran dan bertentangan dengan keperibadian Nabi Muhammad yang tidak pernah memukul isteri walau dalam sebarang keadaan,” kat SIS dalam laporannya.

Kaji selidik itu dilakukan ke atas 675 wanita seluruh negara bandar dan luar bandar di peringkat umur 18- 55 tahun dalam tempoh pertengahan tahun lepas hingga awal tahun ini.

Tinjauan itu turut mengkaji berpendapat wanita tersebut mengenai perlindungan daripada keganasan melalui pelaksanaan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Seramai 94% responden percaya mereka berhak melaporkan kepada pihak berkuasa jika didera secara fizikal dan emosi.

Bagaimanapun hanya 68% responden berpendapat mereka berhak memilih untuk melakukan hubungan kelamin dalam perkahwinan. – 15 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen