KETIDAKADILAN yang dialami isteri dan anak-anak dalam perkahwinan poligami boleh dicegah jika pihak berkuasa mengambil tindakan serius terhadap syarat-syarat berpoligami, kata Sisters in Islam (SIS).
Pertubuhan hak-hak wanita Islam itu menggesa pihak berkuasa mengetatkan lagi syarat sedia ada dalam permohonan berpoligami yang masih memudahkan berpoligami dan menutup kelopongan dari segi undang-undang dan prosedur yang membenarkan suami untuk berpoligami tanpa kelulusan mahkamah.
“Para tokoh agamawan juga mempunyai kewajiban yang besar dan berat untuk membimbing dan menggalakkan umat supaya lebih bertanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga yang membawa keadilan dan ketenangan kepada semua ahli keluarga dan bukan ke arah kehidupan keluarga yang rapuh dan mudah binasa, lebih-lebih lagi dalam era pandemik Covid-19,” kata SIS dalam satu kenyataan hari ini.
SIS mengulas hantaran Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin di Instagram mengenai pertemuannya dengan Ketua Hakim Syarie Perlis Ibrahim Deris semalam, yang membincangkan antara lain mengenai memudahkan poligami di negeri itu.
Pertubuhan itu juga kecewa perbincangan tersebut menggambarkan seolah-olah isu dan kesan poligami dipandang ringan.
“Jika mufti Perlis dan ketua kakim syarie Perlis merasakan bahawa poligami merupakan jalan penyelesaian terhadap masalah yang dialami, ia adalah salah sama sekali kerana realitinya adalah indah khabar dari rupa.
“Sudah pastinya mereka sedia maklum dengan permasalahan yang dihadapi oleh golongan wanita, ibu tunggal dan kanak-kanak.”
Perbincangan mengenai cara untuk memudahkan poligami di Perlis juga pendekatan yang tidak bertanggungjawab memandangkan amalan sedia ada mempunyai banyak kelemahan yang harus diperbetulkan, tambah SIS.
Berkenaan kelompongan dari segi undang-undang, SIS berkata ramai pasangan yang bernikah di sempadan Thailand hanya dikenakan denda dan diwajibkan mematuhi undang-undang di Malaysia yang mengambil kira kemampuan suami dari segi kewangan dan masa.
Menurut SIS, terdapat banyak kes suami tidak mampu menyara lebih dari satu keluarga.
“Ada juga golongan suami yang mengatakan bahawa dia mempunyai status kewangan yang stabil ketika memohon untuk berpoligami tetapi, apabila diperintah membayar nafkah isteri dan anak-anak, dia merayu kepada pihak mahkamah dengan mengatakan bahawa dia tidak mempunyai kewangan yang stabil dan tidak mempunyai apa-apa aset.”
Tinjauan yang dijalankan oleh SIS juga mendapati ramai isteri terpaksa bekerja untuk menampung perbelajaan keluarga, tambah kenyataan itu.
“Tambahan pula, jika dilihat dari segi psikologi dan emosi anak-anak, mereka juga amat terkesan.
“Hakikatnya, perkahwinan poligami bukan sahaja melibatkan golongan suami dan isteri-isteri sahaja tetapi melibatkan anak-anak di mana kebajikan mereka wajib diambil kira,” kata SIS.
Selain itu, SIS menegaskan Asri dan Ibrahim perlu lebih prihatin dengan menekankan isu yang lebih penting seperti soal nafkah anak, keganasan rumahtangga, bantuan kewangan untuk golongan wanita dan ibu tunggal, hak penjagaan anak-anak dan lain-lain.
“Janganlah menutup mata atau memberikan cadangan yang akan memburukkan lagi keadaan hanya kerana poligami dibenarkan dari sisi agama.” – 7 Jun, 2020.
Komen