Mosti kaji kurangkan kos hasil produk tani, kata timbalan menteri


Ahmad Amzad berkata, kenaikan harga hasil tani sejak kebelakangan ini turut berkait rapat dengan masalah bekalan baja dan racun serangga. – Gambar Facebook, 27 November, 2021.

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sedang menjalankan beberapa kajian untuk mengurangkan kos berkaitan penghasilan produk pertanian di negara ini.

Timbalan Menterinya Ahmad Amzad Hashim, berkata kenaikan harga hasil tani termasuk sayur-sayuran sejak kebelakangan ini bukan sahaja disebabkan jumlah pengeluarannya yang berkurangan tetapi turut berkait rapat dengan masalah bekalan baja dan racun serangga yang diperlukan.

Beliau berkata, antara kajian yang sedang dijalankan Mosti adalah penggunaan racun serangga dan baja pertanian yang menggunakan teknologi nano untuk meningkatkan penghasilan produk tani dan pada masa sama mengurangkan kos dengan lebih efektif.

“Semalam kami baru berbincang mengenai penggunaan baja teknologi nano, walaupun harganya agak tinggi tapi kadar penggunaannya sangat rendah… semburan tidak perlu dibuat banyak kali kerana ia (nutrien) akan diserap perlahan-lahan.

“Selain itu, kami lihat juga penggunaan teknologi melalui Agensi Angkasa Malaysia untuk merancang kerja pembajaan dan penyemburan racun dengan cara lebih efektif. Itu antara perkara yang sedang diteliti bagaimana kami boleh membantu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk mengurangkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru peringkat daerah Kuala Terengganu hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Salim Ab Ghani.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, antara fokus Mosti adalah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan kementerian lain untuk mengukuhkan sekuriti makanan negara.

“Kejayaan terbaharu Mosti adalah penghasilan varian benih padi IS21 hasil penyelidikan Agensi Nuklear Malaysia yang mampu meningkatkan hasil tuaian sebanyak sembilan tan untuk satu hektar sawah berbanding hanya tiga tan sebelum ini.

“Banyak lagi produk pertanian yang sedang di bawah kajian pelbagai agensi Mosti antaranya cendawan dan kenaf… dengan teknologi nuklear, kita boleh hasilkan kenaf dengan saiz lebih besar yang pastinya mempunyai lebih banyak serat,” katanya. – Bernama, 27 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen