2.72 juta warga asing terima satu dos vaksin, kata menteri


Sebanyak 2.72 juta warga asing di Malaysia menerima satu dos vaksin Covid-19, sementara 1.59 juta sudah mendapat vaksin lengkap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2021.

SEJAK permulaan program imunisasi Covid-19 pada Februari, sebanyak 2.72 juta warga asing sudah diberi satu dos vaksin, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Dalam jawapan yang diberi kepada bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye (Gopeng-PH), menteri Dr Adham Baba berkata ia selari dengan aspirasi Malaysia bahawa “tiada yang selamat sehingga semua selamat”.

“Hingga 22 September, di bawah pelan agar vaksin percuma diberikan kepada bukan warga Malaysia, sebanyak 2.72 juta individu menerima satu dos sementara 1.59 juta diberi vaksin lengkap,” katanya dalam jawapan Parlimen.

“Ini untuk memastikan liputan vaksin meluas hingga ke pusat virus.”

Bagaimanapun, kementerian itu tidak menjelaskan sama ada angka ini merangkumi ekspatriat, pekerja migran yang sah dan haram serta komuniti pelarian.

Menurut Jabatan Perangkaan, terdapat 2.69 juta warga asing tinggal di negara ini daripada 32.66 juta penduduk Malaysia.

Pada 30 September, 43.7 juta dos suntikan Covid-19 diber di seluruh negara, termasuk 62% atau 20.3 juta penduduk diberi vaksin lengkap sementara 72% atau 23.5 juta orang menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Bagi populasi dewasa pula, 86.3% sudah diberi vaksin lengkap sementara 94.2% menerima satu suntikan. – 1 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen