Malaysia perlu tingkat peratusan pelajar dalam STEM, kata menteri


Menurut Laporan Tahunan 2020 Kementerian Pendidikan, peratusan pelajar dalam bidang itu adalah 47.18%. – Gambar Facebook, 9 Oktober, 2021.

PERATUSAN pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu ditingkatkan kepada 60% bagi memastikan negara mempunyai bekalan bakat STEM yang mencukupi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba.

Memetik Laporan Tahunan 2020 Kementerian Pendidikan Malaysia, beliau berkata peratusan pelajar dalam bidang itu adalah 47.18% dengan 20.51% membabitkan Sains Tulen manakala baki 26.67% bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Kementerian mengambil berat mengenai peratusan pelajar dalam bidang STEM kerana bakat STEM akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara.

“Hari ini semua negara berlumba-lumba menghasilkan ilmu sains dan teknologi baharu yang lestari, mampu milik dan selamat sejajar dengan visi matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ingin dicapai pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada peringkat akhir pertandingan National Science Challenge (NSC) 2021 Piala Pusingan Perdana Menteri yang diadakan secara maya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, visi itu dapat dicapai menerusi pembudayaan sains dan teknologi serta kerajaan melalui pelbagai agensi sentiasa komited membantu membudayakan seterusnya membangunkan sebuah masyarakat progresif yang mendukung sains dan teknologi.

“Subjek STEM perlu diperkukuhkan lagi di semua peringkat untuk menarik minat pelajar mendalami ilmu sains dan teknologi.

“Guru bersama agensi berkaitan perlu menjadi lebih kreatif dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik bagi subjek STEM di sekolah,” katanya.

Dr Adham turut mempelawa institusi pengajian tinggi dan sekolah untuk berkolaborasi dengan Mosti menerusi agensinya untuk memantapkan bakat STEM negara sekali gus mewujudkan kerjaya berasaskan sains dan teknologi pada masa akan datang, sejajar dengan peredaran masa dan keperluan manusia. 

Selain itu, beliau berkata, pengajaran dan pembelajaran STEM boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pembelajaran formal di sekolah dan pembelajaran secara tidak formal melalui aktiviti ko-kurikulum atau menyertai program anjuran institusi dan organisasi berkaitan seperti pertandingan itu. – Bernama, 9 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen