Mosti peruntuk RM60 juta R&D vaksin Covid-19


Ahmad Amzad (tengah belakang) pada program mobilisasi vaksin komuniti peringkat DUN Tawang Fasa 8.0 di Kota Bharu. – Gambar Facebook, 18 September, 2021.

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) memperuntukkan hampir RM60 juta bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin Covid-19 dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bekalan vaksin dari luar negara.

Timbalan menteri Ahmad Amzad Hashim, berkata daripada jumlah itu, RM54 juta disediakan kepada Malaysia Genome Institute (MGI) manakala RM2.5 juta bagi kumpulan pengkaji pembangunan vaksin menggunakan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA).

“Peruntukan berjumlah RM2.5 juta lagi disediakan untuk tujuan pembangunan vaksin dari toksin kuman yang dinyahaktif di Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya selepas merasmikan program mobilisasi vaksin komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang Fasa 8.0 di Pantai Senok, Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata, menerusi R&D vaksin itu, kementerian menjangkakan vaksin tempatan akan dapat dikeluarkan dalam tempoh 2 hingga 5 tahun.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, kementerian turut melaksanakan diplomasi sains dengan negara luar serta universiti di luar negara bagi tujuan itu.

“Misalnya untuk kajian vaksin jenis mRNA, kita jalin kerjasama dengan Universiti Chulalongkorn, Thailand yang menjadi perintis pembangunan vaksin itu.

“Proses ini membabitkan hubungan antarabangsa yang mana kementerian dan pihak berkaitan perlu memainkan peranan penting untuk kejayaan pembangunan vaksin,” katanya.

Ahmad Amzad juga berharap Malaysia bakal menjadi pengeluar dan pengimport vaksin terutama bagi pasaran negara Islam.

“Kira harap dengan pembabitan di peringkat awal bahagian regulatori farmasi negara (NPRA) dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kita akan mendapat manfaat sebab masyarakat Islam lebih yakin sekiranya vaksin dikeluarkan oleh negara Islam,” katanya. – Bernama, 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen