Kenyataan saya disalah erti, kata Ahmad Faizal


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Ravin Palanisamy

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata siasatan diperlukan apabila terdapat dakwaan terdapat gangguan seksual bagi melindungi atlet muda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2021.

MENTERI Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu mendakwa kenyataannya berkenaan isu dibangkitkan Pandelela disalah erti.

“Apa yang saya mahukan adalah mendapatkan penjelasan terperinci daripada Pandelela Rinong dan semua yang terlibat dalam jenaka lucah sebelum mengambil sebarang tindakan,” kata ahli Parlimen Tambun itu pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata siasatan diperlukan apabila terdapat dakwaan sedemikian bagi melindungi atlet muda.

“Selaras dengan itu, saya mengarahkan kementerian mempergiatkan latihan peka sensitiviti jantina. 

“Saya harap atlet juga bersuara dengan suara supaya tindakan dapat diambil,” katanya. 

Malah katanya, beliau akan membela nasib atlet yang berdepan masalah gangguan seksual.

Timbalan presiden Bersatu itu menjawab soalan Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar-Bebas) yang bertanya apa yang dilakukan oleh kementerian dalam kes Pandelela.

Ahmad Faizal menerima kecaman semalam selepas beliau didakwa mempersoalkan mengapa insiden itu dibangkitkan oleh Pandelela setelah sekian lama.

“Tapi saya hanya nak faham keseluruhan senario, kenapa tiba-tiba setelah sekian lama lela (Pandelela) keluar kenyataan melalui media sosial beliau,” katanya.

Minggu lepas, penerjun kelahiran Sarawak itu menerusi Twitter mendedahkan jurulatihnya pernah membuat jenaka berunsur seksual namun atlet lain tidak mampu berbuat apa-apa kerana mendapat sokongan ketua jurulatih.

Pandelela berkata dia dibuli apabila menentang kejadian seperti itu seterusnya mendakwa jurulatih itu melakukan jenayah rogol tujuh tahun kemudian.

Dilaporkan perkhidmatan jurulatih sudah ditamatkan berkuatkuasa serta merta, manakala kontrak ketua jurulatih tidak dilanjutkan.

Pada Mei, perenang Cindy Ong memberitahu Malaysiakini bagaimana dia berdepan gangguan seksual dan serangan selama bertahun-tahun termasuk daripada jurulatih kebangsaan ketika remaja.

Sementara itu dalam satu kenyataan awal hari ini Lim Guan Eng berkata DAP mendapati Ahmad Faizal Azumu tidak layak menjadi menteri belia dan sukan selepas dia meremehkan aduan Pandelela. – 26 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen