Pandelela galakkan mangsa gangguan seksual bersuara


Alfian Z.M. Tahir

Penerjuan negara Pandelela Rinong bukan niatnya untuk mencari populariti dan dia sedang mewujudkan kesedaran terhadap salah laku seksual dalam sukan. – Gambar EPA, 26 Oktober, 2021.

PENERJUN negara Pandelela Rinong mahu menggalakkan atlet masa depan bersuara dan menentang gangguan seksual apabila dia berkongsi pengalamannya di media sosial baru-baru ini.

Membalas kenyataan terhadap Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu, Pandelela berkata bukan niatnya untuk mencari populariti dan dia sedang mewujudkan kesedaran terhadap salah laku seksual dalam sukan. 

“Saya kongsikan pengalaman ‘tidak begitu baik’ saya bagi memberi kesedaran kepada orang ramai dan sokongan kepada mangsa di luar sana yang sentiasa dalam dilema sama ada untuk bersuara atau berdiam diri.

“Yang paling penting, individu yang membiarkan dan menyokong perbuatan itu tidak boleh dipopularkan. Orang lain mungkin lupa tetapi bukan mangsa.

“Saya masih menyokong sepenuhnya #rapejokeisnotfunny (#rogolbukanjenaka) dengan harapan generasi tampil berani tidak seperti saya dahulu,” katanya menerusi Twitter. 

Faizal semalam mempersoalkan pendedahan yang dibuat Pandelela di Twitter.

Menteri itu bertanya mengapa pemenang pingat emas Olimpik itu membangkitkan isu berkenaan setelah sekian lama.

“Tapi saya hanya nak faham keseluruhan senario, kenapa tiba-tiba setelah sekian lama lela (Pandelela) keluar kenyataan melalui media sosial beliau,” katanya.

Minggu lepas, penerjun kelahiran Sarawak itu menerusi Twitter mendedahkan jurulatihnya pernah membuat jenaka berunsur seksual namun atlet lain tidak mampu berbuat apa-apa kerana mendapat sokongan ketua jurulatih.

Pandelela berkata dia dibuli apabila menentang insiden seperti itu seterusnya mendakwa jurulatih itu melakukan jenayah rogol tujuh tahun kemudian.

Dilaporkan perkhidmatan jurulatih sudah ditamatkan berkuatkuasa serta merta, manakala kontrak ketua jurulatih tidak dilanjutkan.

Pada Mei, perenang Cindy Ong memberitahu Malaysiakini bagaimana dia berdepan gangguan seksual dan serangan selama bertahun-tahun termasuk daripada jurulatih kebangsaan ketika remaja. – 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen