Setiap aduan pesakit di PKRC seliaan Hospital Sarikei diselesai segera


Hospital Sarikei tidak menafikan wujud masalah membabitkan kerosakan dan kekurangan fasiliti di PKRC seliaan mereka. – Gambar Facebook, 10 Oktober, 2021.

SETIAP aduan pesakit di tiga pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) yang diselia Hospital Sarikei diambil tindakan dan diselesaikan dengan segera.

Hospital Sarikei dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihak hospital juga tidak menafikan sebelum ini terdapat masalah yang timbul membabitkan kekurangan atau kerosakan fasiliti yang berlaku di satu daripada PKRC seliaannya iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong.

“Selain isu kekurangan fasiliti, petugas di PKRC SMK Meradong turut menghadapi masalah dengan segelintir sikap pesakit yang mengubah suai sendiri kedudukan katil atau tempat tidur yang disediakan.

“Untuk makluman, PKRC SMK Meradong ditutup secara rasmi pada 3 Oktober lalu manakala PKRC Dewan Suarah dimulakan operasinya pada tarikh sama,” menurut hospital itu.

Kenyataan itu dibuat bagi menjelaskan dakwaan yang dibangkitkan sebuah portal berita mengenai beberapa situasi PKRC di Bahagian Sarikei.

Sementara itu, Hospital Sarikei memaklumkan pegawai perubatan setiap jabatan di hospital itu terbabit dalam pengurusan wad Covid-19 dan PKRC dengan mengambil kira jumlah minimum yang diperlukan.

Menurut hospital itu, jadual bertugas untuk wad Covid-19 dan PKRC ditetapkan dengan setiap pegawai perubatan mengambil giliran bertugas ‘on-call’ pada kadar selang tiga hari.

“Pegawai perubatan akan diberi hari rehat selepas giliran ‘on-call’ agar dapat berehat sebelum bertugas kembali,” menurut kenyataan itu.

Berhubung isu cuti rehat petugas hospital pula, Hospital Sarikei memaklumkan tidak pernah menghalang sekiranya keadaan sangat memerlukan.

“Malah, setiap penyelia diarahkan untuk menyediakan jadual bertugas mengikut kesesuaian dan tidak membebankan petugas serta sentiasa memastikan mereka mempunyai waktu rehat yang cukup,” menurut Hospital Sarikei. – Bernama, 10 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen