Polis buru 3 tahanan positif Covid-19 lari dari PKRC di Tawau


Polis meminta orang ramai tampil memberi maklumat mengenai suspek yang melarikan diri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2021.

POLIS sedang giat memburu tiga tahanan lelaki positif Covid-19 yang meloloskan diri dari pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Arena di Tawau, Sabah pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas berkata, dua tahanan iaitu Niko Matheus, 25, dan Hashim Muhamad Syata, 34, adalah warga Indonesia manakala seorang lagi Jimnajir Annor, 23, warga Filipina.

“Ketiga-tiga mereka ditempatkan di PKRC Dewan Arena di sini bersama 16 tahanan lain. Siasatan awal mendapati mereka mengumpil keluar dawai besi di tandas untuk melarikan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Peter berkata, susulan itu pihaknya melancarkan operasi khas Ops Tutup dengan melakukan sekatan jalan raya di lokasi strategik termasuk di jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama bagi mengesan semua suspek terbabit.

“Polis yakin ketiga-tiga tahanan ini masih berada di Tawau. Kita juga melaksanakan operasi Ops Kesan dengan mewujudkan pasukan pengesan terdiri daripada pelbagai unit polis,” katanya.

Menurutnya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek berkenaan diminta tampil dan melaporkan segera ke balai polis berdekatan. – Bernama, 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen