Negeri Sembilan tambah PKRC jika kes Covid-19 meningkat


Negeri Sembilan sedia buka sebuah lagi PKRC berkapasiti besar jika berlaku peningkatan kes Covid-19 di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

KERAJAAN Negeri Sembilan bersedia membuka sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) berkapasiti besar, sekiranya berlaku peningkatan kes wabak tersebut di negeri ini.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Negeri Sembilan Dr Razali Ab Malik berkata pihaknya kini dalam peringkat mengkaji kesesuaian lokasi PKRC berkenaan, terutama di sekitar Kuala Pilah dan Seremban.

Bagaimanapun katanya, dua PKRC iaitu di Kuala Pilah dan Port Dickson, masih mampu menampung keperluan pesakit bergejala rendah wabak itu setakat ini, dengan kapasiti penggunaannya mencecah 53.6%.

“Kedua-dua PKRC yang berfungsi sebagai pusat rawatan dan kuarantin bagi pesakit positif kategori satu dan dua, iaitu tanpa gejala atau gejala ringan, masih ada ruang kosong lagi untuk menempatkan pesakit dengan pelbagai kemudahan, selain akan tambah jumlah katil jika perlu.

“Namun, berdasarkan trend kes sekarang, kita tengok ada peningkatan dan kita bersedia membuka satu lagi PKRC, sekiranya kedua-dua PKRC sedia ada penuh,” katanya.

Beliau yang juga setiausaha kerajaan Negeri Sembilan berkata sehingga 31 Mei lepas, penggunaan katil di kedua-dua PKRC di Port Dickson dan Kuala Pilah adalah sebanyak 835 berbanding jumlah keseluruhan berjumlah 1,558 katil.

Semalam, Negeri Sembilan merekodkan 397 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negeri ini sebanyak 26,702 kes.

Mengulas lanjut beliau berkata setiap PKRC perlu memenuhi beberapa kriteria utama, antaranya mempunyai ruang yang luas untuk menempatkan kapasiti katil yang banyak, serta kawasan persekitaran yang bersesuaian selain selesa, untuk pesakit serta petugas.

Dalam pada itu Razali berkata bagi memastikan kelancaran operasi PKRC, seramai 230 kakitangan ditugaskan di kedua-dua PKRC, termasuk daripada Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, yang bekerja mengikut dua syif sehari.

Ditanya mengenai perancangan membuka hospital medan seperti yang dimaklumkan Menteri Besar Aminuddin Harun baru-baru ini, beliau berkata ia akan diwujudkan di kawasan Hospital Rembau, namun perkara itu masih di bawah penilaian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, seramai 474,746 rakyat di negeri ini telah mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, manakala sejumlah 76,023 individu (8.95%) mendapat suntikan vaksin Covid-19 setakat 31 Mei lepas.

“Pelbagai inisiatif kita lakukan untuk menggalakkan orang ramai mendaftar vaksin, termasuk pemerkasaan komuniti iaitu melahirkan ramai Agen Basmi Covid-19, hebahan melalui media sosial dan sebagainya,” katanya. – Bernama, 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen