Eksport, import Hong Kong meningkat


Prospek eksport Hong Kong diunjur akan terus menunjukkan prestasi cemerlang. – Gambar AFP, 27 Ogos, 2021.

JABATAN statistik wilayah pentadbiran khas Hong Kong mengumumkan jumlah nilai eksport dan import masing-masing meningkat 26.9% dan 26.1% pada Julai.

Menurut statistik yang dikeluarkan pada Khamis, jumlah nilai eksport komoditi di Hong Kong direkodkan sebanyak HK$417 bilion (RM224.47 bilion) pada Julai.

Ia sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 26.9% berbanding tempoh sama tahun lalu susulan kadar peningkatan 33% pada Jun.

Jumlah nilai komoditi import pula dicatat sebanyak HK$451.9 bilion (RM243.26 bilion) pada Julai, atau meningkat 26.1%, yang turut mencetus defisit perdagangan HK$35 bilion (RM18.84 bilion).

Memetik jurucakap kerajaan Hong Kong, kadar peningkatan eskport komoditi pada Julai hampir sama dengan suku kedua tahun ini disebabkan permintaan masyarakat antarabangsa yang semakin pulih.

Sementara itu, eksport ke Tanah Besar, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah turut memperlihatkan peningkatan ketara di samping pengeksportan ke pasaran lain di Asia.

Untuk tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah nilai perdagangan di Hong Kong mencatat HK$5.61 trilion (RM3.02 trilion), 13.1% lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2018.

Dalam pada itu, prospek eksport Hong Kong diunjur akan terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam jangka pendek susulan pemulihan ekonomi global.

Namun begitu, faktor ketidaktentuan masih lagi berlegar ekoran penularan varian baharu virus Covid-19, ketegangan geopolitik di Asia Barat dan beberapa faktor lain. – Bernama, 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen