AIN Husniza Saiful Nizam yang mendakwa seorang guru lelaki membuat lawak tentang rogol di video aplikasi TikTok dipanggil memberi keterangan di balai polis Sungai Buloh esok susulan guru berkenaan membuat laporan terhadapnya.
Bapanya, Saiful Nizam menerusi Twitter berkata menerima panggilan dari balai polis berkenaan hari ini di mana polis meminta Ain ke balai.
Beliau berkata mereka akan ditemani peguam Sankara Nair, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Dalam satu tweet berasingan, Ain berkata beliau dan bapanya dipanggil berikutan laporan polis dibuat oleh guru terbabit terhadapnya.
Awal hari ini, Ketua Polis Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar dilaporkan berkata timbalan pendakwa raya dalam kes guru berkenaan memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap kes itu.
Semalam, Ain menerima notis tuntutan kerana melakukan kenyataan fitnah.
Ain dan ibu bapanya dinamakan sebagai responden dalam notis itu, yang antara lain menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM1 juta.
Saiful Nizam berkata mereka menerima notis tuntutan itu daripada tetuan Rasshidi Ema & Yung.
Bagaimanapun, katanya notis tuntutan itu dibuat oleh bekas guru pendidikan jasmani dan kesihatan Ain.
Ain lantang memulakan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace di media sosial, pada April lalu mendakwa guru pendidikan jasmaninya di di SMK Puncak Alam, Selangor membuat jenaka tentang rogol.
Ain menerusi video TikTok berkata guru itu memberitahu pelajar lelaki di dalam kelasnya jika mahu merogol, jangan rogol budak bawah 18 tahun.
Selepas video itu tular, Kementerian Pendidikan memindahkan guru tersebut ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sementara menunggu siasatan.
Ain juga memohon untuk berpindah sekolah. – 5 Ogos, 2021.
Komen