SUDAH beberapa minggu viral tentang kisah adik Ain Husniza yang meluahkan kekecewaan apabila seorang guru pendidikan jasmani di sekolahnya membuat lawak lucah di kelas.
Semalam difahamkan adik Ain diberikan surat amaran pertama akibat tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut.
Adik Ain berkata beliau tidak rasa selamat berada di sekolah dan mempersoalkan mengapa masih tiada tindakan terhadap guru yang melakukan lawak lucah tersebut.
Insiden ini menarik perhatian umum termasuk penerjun negara yang baru sahaja memenangi kejohanan dunia, Pandalela Rinong yang menitipkan pesanan buat Ain supaya berhati-hati dengan persekitaran beliau kerana risau akan disabotaj oleh pihak tertentu.
Dalam ciapan beliau di Twitter, Pandalela berkata “sama ketika saya cuba #makesportsasaferplace (jadikan sukan tempat yang selamat), saya digelar ‘diva’ dengan merujuk maksud berbeza”.
Kenyataan Pandalela harus diambil serius memandangkan terdapat beberapa insiden gangguan seksual serta kes rogol melibatkan atlet sebelum ini.
Adakah ini secara tidak langsung satu panggilan kecemasan “a cry for help” daripada Pandalela?
Saya mengharapkan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil isu ini secara serius. Kita tidak akan lupa kisah rogol di perkampungan sukan ketika Sukma 2013, juga dakwaan gangguan seksual oleh seorang atlet terjun negara empat tahun yang lepas pada 2017.
Saya percaya ramai atlet takut untuk bersuara kerana bimbang nasib mereka dalam bidang sukan akan dipertaruhkan jika bersuara.
Pihak KBS dan Kementerian Pendidikan harus berganding bahu dalam menangani isu ini.
Isu lawak lucah, gangguan seksual seperti ini harus diambil perhatian secara serius supaya dapat menyediakan persekitaran selamat buat generasi masa hadapan negara terutamanya di sekolah.
Jika adik Ain Husniza yang bersuara hari ini terpaksa melalui pelbagai tohmahan saya risau dengan nasib lebih ramai pelajar lagi di luar sana yang takut untuk bersuara kerana bimbang akan dikenakan tindakan.
Saya menyeru mana-mana pelajar yang melalui situasi yang sama, untuk “call out” individu tersebut tanpa rasa gusar.
Bersuaralah kerana tanpa suara anda kita tidak mampu untuk mengubah sistem yang bobrok ini. Manakala, pihak kerajaan pula perlu mengambil tindakan sewajarnya bukan bertindak mendiamkan diri apabila pelajar dibuli.
Nasib ribuan pelajar sekolah hanya akan dapat dibela jika pihak legislatif memainkan peranan untuk melindungi anak bangsa kita. – 10 Mei, 2021.
* Yuslaini Azmi, ketua Wanita Muda AMK Terengganu.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen