PULAU Pinang akan beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu depan apabila 10% daripada populasi penduduk di negeri itu telah divaksinasi, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Chow dalam kenyataan hari ini berkata sehingga semalam, 9.9% daripada populasi golongan dewasa di negeri itu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan dijangka mencapai 10% esok.
“Menerusi pencapaian ini, kami berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan agar Pulau Pinang dapat beralih ke fasa dua PPN tidak lama lagi,” katanya.
Kerajaan telah menetapkan 10% daripada populasi warga dewasa yang telah menerima suntikan vaksin sepenuhnya sebagai satu daripada nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua PPN.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis akan beralih ke fasa dua PPN, esok.
Chow berkata Pulau Pinang bakal menerima 591,523 dos vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bulan ini dan Ogos sekali gus dapat membantu proses peralihan fasa negeri itu.
“Objektif kami seterusnya adalah menyaksikan golongan 60 tahun dan ke atas melengkapkan proses vaksinasi secepat mungkin sebelum kita memberi tumpuan kepada kumpulan bawah 60 tahun bulan ini,” katanya. – Bernama, 4 Julai, 2021.
Komen