LEBIH 2.4 juta orang atau 7.5% populasi Malaysia sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).
6.1 juta lagi atau 18.7% pula sudah menerima dos pertama, daripada 8.6 juta suntikan dos, katanya di Twitter.
Angka terkini ini didapati selepas 236,196 suntikan diberikan semalam.
Daripada jumlah itu, 167,056 adalah dos pertama dan 69,137 adalah dos kedua.
Putrajaya menetapkan matlamat supaya 10% populasi menerima dua dos suntikan vaksin sebagai salah satu syarat melonggarkan sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasa sekarang.
Petunjuk lain adalah kes harian Covid-19 di bawah 4,000 dan kapasiti ICU yang kini melebihi hadnya diturunkan kepada “sederhana”.
Bagaimanapun, sejak empat hari lepas, kes harian Covid-19 melepasi 6,000.
Setakat semalam, negeri dengan kadar vaksinisasi lengkap dua dos tertinggi adalah Putrajaya (25.8%), Labuan (16.8%) dan Kuala Lumpur (12.5%) – 3 Julai, 2021.
Komen