Wira Covid-19 UK dominasi senarai penerima darjah kebesaran Ratu Elizabeth


Wira perang melawan Covid-19 di UK mendominasi senarai penerima anugerah darjah kebesaran Ratu Elizabeth II. – Gambar AFP, 12 Jun, 2021.

RATU Elizabeth II akan menganugerahkan darjah kebesaran bagi mengiktiraf mereka yang bertanggungjawab ke atas kejayaan program vaksinisasi Covid-19 di Britain, kata Istana Buckingham pada Jumaat.

Sarah Gilbert, ketua penyelidik vaksin Oxford/AstraZeneca dan Kate Bingham, bekas pengerusi pasukan tindakan khas vaksin Britain, akan menerima gelaran “dame”- salah satu darjah kebesaran tertinggi dikeluarkan insititusi beraja itu.

Bingham berkata beliau terharu kerana anugerah itu, berterima kasih kepada pekerja Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang “menggadaikan kesihatan dan nyawa mereka melawan Covid.”

“Pembangunan vaksin adalah kejayaan kerjasama saintifik dan industri,” tambahnya. “Tidak sampai setahun lalu kita bekerja keras mengkaji vaksin yang tidak terbukti keberkesanannya untuk digunakan di UK.

“Tetapi sejak enam bulan lepas sahaja, hampir 70 juta dos vaksin memberikan perlindungan dan menyelamatkan ribuan nyawa.”

Gilbert pula berterima kasih kepada ahli pasukannya yang berbakat dan berdedikasi, yang menurutnya “menggerakkan pembangunan vaksin dalam masa yang dianggap ramai orang sebagai mustahil.”

Rakan sejawat Gilbert dari Oxford, Andrew Pollard dan Peter Horby pula akan menerima darjah kebesaran “knight”, menurut senarai anugerah kebesaran dikeluarkan istana itu.

Adik beradik, John Brownhill dan Amanda Guest pula dianugerahkan Pingat Empayar British selepas menubuhkan perkhidmatan penyampaian lebih 200,000 bekalan makanan kepada NHS sepanjang krisis kesihatan awam itu.

Hampir suku atau 262 orang dalam senarai darjah kebesaran itu dicadangkan namanya kerana keberanian, perkhidmatan atau pencapaian berkaitan perang melawan Covid di negara itu.

Pemain bola sepak England, Raheem Sterling pula dianugerahkan MBE kerana perjuangan menentang perkauman dalam bidang sukan, manakala Jonathan Pryce yang tahun lepas dicalonkan Oscar kerana wataknya dalam filem “The Two Popes” pula menerima gelaran “knight”.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson juga menerima pingat MBE selepas membantu menjana derma mencecah £4 juta daripada pemain bola sepak lain untuk membantu NHS.

Bekas pengurus bola sepak pasukan England Roy Hodgson juga akan menerima pingat CBE kerana jasanya dalam bidang sukan. – AFP, 12 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen