San Francisco wajibkan pekerja majlis disuntik vaksin Covid-19


San Francisco mempunyai kadar vaksinisasi antara tertinggi di California dengan hampir 80% penduduknya berusia 12 tahun ke atas sudah menerima sekurang-kurangya satu dos vaksin. – Gambar AFP, 26 Jun, 2021.

BANDARAYA San Francisco mengumumkan semua pekerja majlis perbandaran diwajibkan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, dan mereka yang gagal boleh dikenakan hukuman termasuk tindakan buang kerja.

Peraturan baharu yang diumumkan Rabu lepas, bagaimanapun tidak akan dikuatkuasa sehingga vaksin tersebut menerima kelulusan penuh Pentadbiran Makanan dan Dadah AS, yang setakat ini hanya memberikan kebenaran sementara atas alasan kecemasan pandemik.

Hanya selepas kelulusan penuh diberikan, San Francisco akan mewajibkan kesemua 35,000 pekerjanya termasuklah anggota polis dan bomba divaksin. Mereka yang gagal mematuhi arahan kecuali mereka yang diberikan pengecualian perubatan dan agama bakal berdepan tindakan termasuk dibuang kerja.

“Keputusan dibuat demi keselamatan dan kesihatan semua pekerja dan orang awam yang menerima perkhidmatan kami,” kata Carol Isen, ketua sumber manusia bandaraya itu.

“Ia adalah tentang melindungi bandaraya selaku majikan daripada apa yang kami anggap sebagai risiko yang tidak boleh diterima.”

Cawangan tempatan Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Antarabangsa yang mewakili sekitar 20,000 pekerja bandaraya, menggelarkan langkah itu sebagai “mandat ugutan” dan berkata keperluan sebegitu perlu dirunding dan tidak boleh dipaksa.

Minggu ini, lebih 150 pekerja di salah sebuah hospital terbesar Texas dipecat atau meletak jawatan selepas enggan mematuhi arahan vaksinisasi Covid.

Pengurusan Houston Methodist memberitahu kakitangan yang mereka perlu menerima vaksin Covid menjelang 7 Jun.

Sebilangan kakitangan sudah memfailkan saman terhadap hospital itu, menuduhnya “memaksa pekerjanya menjadi bahan uji kaji sebagai syarat untuk terus bekerja.”

Saman itu ditolak hakim yang berkata keselamatan vaksin bukanlah isunya.

San Francisco, antara kawasan terawal di AS yang melaksanakan pelbagai langkah mencegah penularan awal mempunyai kadar vaksinisasi antara tertinggi di California; sekitar 80% penduduknya berusia 12 tahun ke atas sudah menerima sekurang-kurangya satu dos vaksin. – AFP, 26 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen