7.8% populasi Malaysia sudah disuntik 2 dos vaksin


Setakat semalam, 8.8 juta dos vaksin sudah disuntik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2021.

LEBIH 2.5 juta orang atau 7.8% populasi Malaysia sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

6.1 juta orang atau 19.2% lagi menerima satu dos, daripada 8.8 juta dos vaksin yang sudah disuntik, kata jawatankuasa di Twitter.

Populasi orang dewasa Malaysia yang sudah menerima vaksin adalah 10.8% dengan dua dos dan 26.7% pula menerima satu dos, tambah JKJAV lagi.

Angkat terbaru ini susulan 217,807 dos vaksin yang disuntik semalam.

Daripada jumlah itu, 141,140 adalah dos pertama dan 76,667 adalah dos kedua.

Negeri yang merekodkan kadar tertinggi vaksinisasi penuh dua dos setakat semalam adalah Putrajaya dengan 41.9%, diikuti Labuan (25%) dan Perlis (23.5%).

Putrajaya meletakkan matlamat 10% populasi negara menerima vaksinisasi penuh dua dos, salah satu kayu ukur yang perlu dipenuhi sebelum sekatan pergerakan penuh dilonggarkan.

Kayu ukur lain adalah kes harian Covid-19 bawah 4,000 dan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) yang kini melebihi had diturunkan kepada tahap “sederhana”.

Bagaimanapun, kes harian Covid-19 terus melepasi 6,000 kes sejak empat hari lepas.

Semalam, Malaysia melaporkan 6,658 kes baharu dan 107 kematian. – 4 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen