KLAB 2021: Pesta biasa yang luar biasa


Naim Al-Kalantani

MENGIMBAU kenangan sebelum pandemik Covid-19 yang melanda dunia akhir tahun 2019, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020 tidak dapat dilaksanakan seperti tradisi sebelumnya – di Putra World Trade Centre (PWTC) di ibu kota.

Menjelang suku pertama tahun 2021, nekad Fixi dan The Patriots diikuti dengan semangat dari Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) telah mengembalikan imbauan dan roh pesta buku dengan penganjuran Kuala Lumpur Alternative Book Fest (KLAB) 2021.

Saya berkesempatan untuk bertamu di KLAB ini sepanjang tiga hari. Lebih kurang 20 vendor atau reruai yang menyertai pesta buku kecil ini. Pesta buku 9-11 April 2021 ini diadakan di ruang legar tingkat 4 di Sunway Putra Mall di Kuala Lumpur – bersebelahan dengan tapak ikonik PBAKL di PWTC.

Saya tidak mahu menceritakan seperti laporan berita berkenaan program ini kerana program yang berjaya dengan cemerlang selama tiga hari dengan semangat-semangat yang ada pada jagoan-jagoan dalam industri perbukuan.

Roh PBAKL pada kali terakhir diadakan pada saban tahun wujud dalam KLAB! Puncanya hanya satu, kita sudah lama tidak berpesta. Pesta terakhir pada 2019 dirindui oleh pemain-pemain industri ini. Waima PBAKL 2021 Online diadakan melalui laman belian Shopee baru sahaja tamat lebih kurang minggu sebelumnya, KLAB ini tidak memutuskan semangat untuk pengunjung berpusu-pusu datang.

PBAKL adalah tempat kami bersosial dalam ruangan industri yang sama. Penerbit, penulis, pengunjung datang ke PBAKL secara fizikal untuk bertemu mata bersua muka. Apabila PBAKL dilaksanakan secara dalam talian, ‘roh’ pesta itu telah hilang dimakan oleh Covid-19. 

Jadi, KLAB inilah pesta untuk pemain-pemain ini bersosial. Mereka sangat lama terperangkap di dalam talian dan hanya bertemu secara langsung di Facebook atau YouTube jika ada forum-forum atau pelancaran buku. Mereka perlukan kembali roh pesta buku fizikal yang mana ia lebih memberi kepuasan kepada diri masing-masing.

Pesta buku yang mempunyai vendor ini berlainan dengan Big Bad Wolf (BBW) di Johor Bahru yang diadakan pada tarikh yang sama dengan KLAB. Perbezaan antara BBW dengan KLAB ini adalah dari segi reruai. 

Sesi forum bersama penulis Zamir Mohyedin pada Kuala Lumpur Alternative Book Fest (KLAB) 2021 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Pesta buku itu berlangsung dari 9-11 April. – 12 April, 2021.

Jika mengunjungi BBW, kita hanya dapat melihat jualan buku, dan ia seperti sebuah kedai gergasi. Tetapi jika mengunjungi KLAB, kita dapat melihat penerbit dan penulis buku. Orang ramai lebih tertarik mengunjungi KLAB kerana faktor ini. Perasaan bertemu dengan penulis dan penerbit sangat berbeza dari membeli buku di pesta buku yang berskala besar seperti BBW. 

Kedua-duanya fokus yang berbeza dan bahasa utama juga berbeza; tetapi dalam konteks ini saya ingin menerangkan ia sebagai satu perbezaan mengapakah pesta buku yang kecil ini pesta buku yang luar biasa.

Masing-masing jawapan yang sama diberikan pada saya apabila saya berbual bersama penerbit, mereka bersyukur kerana KLAB ini diadakan, mereka dapat bersosial bersama kawan-kawan sambil berniaga. Inilah keanehan pemain-pemain industri buku, datang untuk berniaga dan bersosial.

Saya perhatikan kebanyakan reruai bukanlah dari wajah baru. Ia wajah-wajah lama yang diterpa sinar harapan untuk berdagang buku di bawah satu festival yang berpotensi untuk mendapat liputan luas. Wajah-wajah ini mengenali satu sama lain, membuatkan festival ini tidak sunyi dan janggal di mata orang. 

Jika saya membuat satu perbandingan mudah; saya pernah beberapa kali hadir ke pesta jualan-jualan selain buku, ia sangat berbeza. Pesta buku ada semangatnya yang tersendiri – riuh, bertenaga, sosialisasi antara vendor-vendor, sesi bertemu penulis, sesi forum bersama penerbit – itulah semangat-semangat yang ada dalam pesta buku.

Gosip-gosip baru industri buku, berbual bersama teman lama, bergelak sakan dengan lawak jenaka, bertanya khabar dan bertegur sapa, ini semua tidak sesuai dibuat secara dalam talian.

Kegersangan yang dialami oleh penerbit buku untuk bersosial ini dialami sejak tamatnya PBAKL 2019, dan mereka bangkit kembali bersosial secara fizikal di KLAB. Pestanya hanya kecil, dikawal oleh SOP yang ditetapkan dan ada limitasi untuk masuk ke ruangan jualan jika pelanggan penuh di dalam festival tersebut. Pun, ia mendapat sambutan dari peminat-peminat industri perbukuan ini. Saya perhatikan liputan ini tersebar luas dengan hanya kuasa pembaca, penerbit dan penganjur.

Hadirnya tokoh-tokoh besar dalam dunia perbukuan menambah lagi bubuk perisa festival ini. Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail, pengarah filem Nasir Jani, Ahli parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, Timbalan Menteri Wan Ahmad Fahsyal, dan beberapa nama lain yang menjadi ikon dalam bidang yang tidak terlingkup dalam kesusasteraan sahaja, pun datang untuk memeriahkan majlis ini.

Tekong besar Fixi dan The Patriots memilih Sunway Putra Mall sebagai tapak jualan bagi saya ia satu tindakan bijak. Pada mulanya saya semacam skeptik mengapa ia dilaksanakan di ruangan bersebelahan dengan medan selera dan di dalam pusat membeli belah? Mengapa tidak diadakan di dewan yang khas untuk dia sahaja? PWTC hanya sepelaung jauhnya, sewalah satu dewan, dan buatlah di sana.

Pandangan saya meleset apabila melihat hari kedua dan ketiga terlalu ramai pengunjung datang. Paling epik pada sesi forum Ayman Rashdan Wong yang mana saya selaku pemerhati festival ini dilarang masuk ke ruangan jualan kerana ruangan tersebut sudah penuh dengan peminat-peminat Ayman.

Nah, puncanya ialah crowd. Jika festival ini dilaksanakan di dalam dewan, ia akan hanya wujud program tersebut saja. Orang yang hadir hanyalah ‘orang kita’ sahaja. 

Bayangkan dibuat di PWTC, ditempahnya satu dewan; yang hadir terkial-kial mahu ke mana selepas itu –dewan-dewan lain kosong, hanya satu program di satu dewan sahaja. Dengan ini, pusat membeli belah adalah pilihan terbaik.

Saya sempat berkata kepada Wan Ahmad Fahsyal apabila mengiringi beliau ke tingkat 4 dari lobi utama, “kami mahukan sangat PBAKL dikembalikan.” Jawapannya cukup mudah, “itu nak kawal crowd macam mana.” 

Ya betul, itulah masalah utama pada era ini. Jadinya, mungkin kita tidak perlukan pesta buku antarabangsa, tetapi selepas ini kita mungkin boleh wujudkan pesta buku berkala. 

Penanda aras sudah tercipta, KLAB telah berjaya! – 12 April, 2021.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen