MENTERI Luar Hishammuddin Hussein perlu menerima hakikat bahawa beliau telah melanggar adat diplomatik dengan memanggil rakan sejawatnnya sebagai ‘big brother’, kata Anifah Aman.
Bekas menteri luar negeri itu berkata Hishammuddin perlu berhenti berdebat dan cuba mewajarkan ungkapan yang salah itu.
“Ungkapan yang digunakan oleh Hishammuddin bukan hanya tidak sesuai tetapi dengan jelas meletakkan menteri luar China itu dalam kedudukan sukar dan memalukan.
“Sebagai diplomat tertinggi Malaysia, Hishammuddin harus lebih berhati-hati dan bijak memilih perkataan atau ungkapan. Diplomasi adalah barisan pertama pertahanan negara.
“Salah untuk melanggar adat diplomatik, namun untuk berdebat dan cuba mewajarkannya jelas menunjukkan keperibadian sebenar individu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Pada Khamis lepas Hishamuddin membuat kenyataan mengenai China sebagai “big brother” kepada Malaysia semasa akhir lawatan ke negara itu.
Bagaimanapun semalam beliau berkata kenyataannya memanggil China sebagai “big brother” kepada Malaysia bukan merujuk kepada hubungan dua hala tetapi merujuk kepada rakan sejawatnya dari China, Wang Yi yang merupakan negarawan yang lebih tua.
“Oleh itu ‘big brother’ kepada saya secara peribadi. Bersikap hormat bukan menadakan kelemahan,” katanya.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pula menyifatkan gelaran diberikan iHishammuddin itu adalah penghinaan terhadap pendirian negara yang tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar di dunia.
Beliau berkata walaupun China adalah kawan, bahasa itu tidak sesuai digunakan dalam diplomasi antarabangsa. – 4 April, 2021.
Komen