MENTERI Luar Hishammuddin Hussein berkata kenyataannya memanggil China sebagai “big brother” kepada Malaysia bukan merujuk kepada hubungan dua hala tetapi merujuk kepada rakan sejawatnya dari China, Wang Yi yang merupakan negarawan yang lebih tua.
Menerusi akaun Twitternya, Hishammuddin berkata beliau menghormati Wang Yi yang lebih tua dan menteri luar negeri yang lebih senior.
“Oleh itu ‘big brother’ kepada saya secara peribadi. Bersikap hormat bukan menadakan kelemahan.
“Yakinlah bahawa Malaysia tetap merdeka, berprinsip dan pragmatik dari segi dasar luar kita – yang diasaskan pada nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan. Kita akan terus memberi sumbangan bermakna ke arah komuniti negara yang adil dan saksama,” katanya menerusi Twitter.
Sebelum ini Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Hishammuddin yang menyebut China sebagai “big brother kepada Malaysia sebagai satu penghinaan terhadap pendirian negara yang tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar di dunia.
Dalam satu kenyataan hari ini, pemimpin pembangkang itu berkata walaupun China adalah kawan, bahasa itu tidak sesuai digunakan dalam diplomasi antarabangsa
“Ini bukan bahasa dan gaya yang sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa kerana ia seolah meletakkan taraf Malaysia kepada hanya sebagai boneka asing.
“Menteri luar harus segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia lantas menarik balik kenyataan hambar tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.
Hishamuddin membuat kenyataan mengenai China sebagai “big brother” kepada Malaysia semasa akhir lawatan ke negara itu pada Khamis. – 3 April, 2021.
Komen