KETUA Pembangkang, Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Menteri Luar Hishammuddin Hussein yang menyebut China sebagai “big brother” adalah penghinaan terhadap pendirian negara yang tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar di dunia.
Dalam satu kenyataan hari ini, pemimpin pembangkang itu berkata walaupun China adalah kawan, bahasa itu tidak sesuai digunakan dalam diplomasi antarabangsa
“Ini bukan bahasa dan gaya yang sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa kerana ia seolah meletakkan taraf Malaysia kepada hanya sebagai boneka asing.
“Menteri luar harus segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia lantas menarik balik kenyataan hambar tersebut,” katanya dalam kenyataan itu
Hishamuddin membuat kenyataan mengenai China sebagai “big brother” kepada Malaysia semasa akhir lawatan ke negara itu pada Khamis.
Semasa lawatan itu, Malaysia dan China menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tinggi untuk Menggalakkan Kerjasama dalam Era Pasca Covid-19 yang merupakan perkembangan bersejarah dalam hubungan kedua-dua negara dan yang pertama seumpamanya bagi Malaysia.
MoU tersebut ditandatangani semasa pertemuan antara Hishammuddin dan rakan sejawatannya dari Wang Yi di Fujian, China.
Kunjungan dua hari Hishammuddin ke China adalah atas undangan Wang Yi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata sikap Hishammuddin menyimpang daripada pendirian Malaysia selama puluhan tahun dalam hubungan diplomasi antarabangsa. – 3 April, 2021.
Komen