KEPUTUSAN rayuan Iki Putra Mubarak mengenai tuduhan seks luar tabii satu langkah awal untuk menyekat pelaksanaan hukum hudud, kata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Presidennya Musa Awang berpendapat ia akan memberi kesan besar kepada perundangan syariah dan bimbang ia akan membuka ruang untuk mencabar lebih banyak peruntukan Mahkamah Syariah.
“Keputusan tersebut juga sebagai gambaran awal menutup pintu kepada cadangan untuk melaksanakan undang-undang berkaitan hudud dan qisas di negara ini.
“Ini kerana kesalahan hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), kesalahan qisas seperti membunuh (al-qatl) juga terdapat dalam Kanun Keseksaan.
“Keputusan tersebut akan membuka ruang kepada mana-mana pihak lain untuk mencabar peruntukan lain yang terdapat dalam enakmen jenayah syariah negeri-negeri,” katanya.
Persatuan itu kesal dengan keputusan tersebut yang menunjukkan negeri sukar menggubal undang-undang sekiranya terdapat peruntukan kesalahan jenayah dalam undang-undang persekutuan.
Walaupun kesalahan jenayah syariah itu dalam kategori kesalahan penganut Islam yang melanggar perintah agama mengikut bidang kuasa kerajaan negeri sedia ada, katanya.
Oleh itu, PGSM mengesa kajian dilakukan semula untuk memastikan undang-undang jenayah syariah tidak lagi dicabar dan diperkotak-katik, tambahnya.
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Badan Perundangan Negeri tidak berkuasa menggubal peruntukan berhubung kesalahan jenayah syariah dalam kes Iki Putra, katanya.
Jelasnya, mahkamah dalam kes itu memutuskan sedemikian sekiranya peruntukan hampir sama sudahpun wujud dalam undang-undang persekutuan yang digubal oleh Parlimen.
Beliau juga kesal kerana Mahkamah Persekutuan memutuskan sedemikian walaupun kesalahan dilakukan penganut Islam, dan kesalahan itu pula dalam bidang kuasa enakmen negeri.
Pertubuhan Pembela Islam yang senada dengan PGSM pula menganggap keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak adil kepada umat Islam
Presidennya Aminuddin Yahaya berkata keputusan itu akan memberi kesan besar yang membenarkan mana-mana pihak akan dapat mencabar undang- undang Islam selepas ini.
“Bagi kita keputusan ini akan buka pintu besar untuk mana-mana pihak mencabar mana-mana kelakuan dalam jenayah Islam pada masa hadapan.
“Keputusan ini akan beri ruang di mana akhirnya mahkamah syarikah tidak boleh adili apa-apa kelakuan yang dipanggil jenayah dalam Islam.
“Ia senario yang tidak adil pada bukan saja undang-undang syariah tapi umat Islam keseluruhannya,” katanya dalam sidang media hari ini.
Justeru, Pembela akan mengemuka gesaan kepada majlis agama Islam negeri serta menteri undang-undang untuk menyemak semula dan menambah baik undang-undang Islam.
Beliau berkata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan boleh menubuhkan unit komuniti untuk menyemak semula undang-undang dan mengemuka pindaan.
Tambahnya Pembela berpendapat keputusan itu secara tidak langsung mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu yang merupakan ketua agama di peringkat Negeri.
Oleh itu Pembela berharap Majlis Raja-Raja campur tangan untuk menasihati pihak berkaitan bagi menambah baik undang-undang syariah di peringkat negeri, katanya.
“Kita mohon sembah duli mulia Majlis Raja Raja beri perhatian khusus perkara ini dengan menasihati pihak yang bertangggungjawab untuk penambahbaikan undang-undang syariah.
“Di peringkat negeri mereka merupakan ketua agama pandangan Majlis Raja Raja akan beri impak besar dalam perundangan negara kita,” katanya.
Terdahulu hari ini Mahkamah Persekutuan menerima permohonan oleh Iki Putra Mubarak yang didakwa melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain pada November 2018.
Lelaki berusia 35 tahun yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.
Panel sembilan hakim memutuskan penetapan seks luar tabii sebagai jenayah di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sewaktu menyampaikan penghakiman berkata, Seksyen 28 belum digubal oleh badan perundangan negeri Selangor secara sah.
Undang-undang mengenai perkara yang dibahas dalam seksyen berkenaan hanya boleh digubal melalui Parlimen, katanya.
Mahkamah Persekutuan pada 25 Mei tahun lalu membenarkan permohonan lelaki tersebut untuk mencabar Sekyen 28.
Dalam hujahannya, peguamnya menyebut badan perundangan Selangor tiada kuasa untuk menggubal peruntukan bagi kes seks luar tabii kerana ia terletak dalam Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian, hanya Parlimen yang mempunyai kuasa eksekutif untuk menggubal undang-undang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, kata peguam.
Mengikut Seksyen 28, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau tidak lebih enam sebatan, atau dengan mana-mana kombinasi hukuman.
Kesalahan sama mengikut Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan pula boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan. – 25 Februari, 2021.
Komen