PEJABAT Peguam Negara sedang mengkaji cadangan menaikkan usia perkahwinan minimum untuk orang Islam dari 16 tahun kepada 18 tahun, kata Tommy Thomas.
Peguam negara berkata kerajaan juga sedang meneliti untuk mengenakan prosedur lebih ketat bagi mahkamah syariah apabila ia memberi keizinan kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun untuk berkahwin.
“Ini adalah antara cadangan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara mengenai cara terbaik untuk menjaga kebajikan dan kepentingan kanak-kanak,” katanya semasa pembukaan tahun undang-undang edisi ke-11, hari ini.
Terdapat penglibatan aktif Pejabat Peguam Negara, kerajaan persekutuan dan negeri untuk menyelaras undang-undang serta dalam merangka pindaan Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Beliau berkata kerajaan juga mengetuai usaha melaksanakan keadilan restoratif dalam sistem perundangan untuk menangani pesalah remaja.
“Program ini bertujuan untuk mengalihkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang melakukan kesalahan jenayah daripada sistem keadilan jenayah yang ada dan mempromosikan pemulihan kanak-kanak,” katanya.
Di bawah sistem ini, remaja akan diberi amaran keras sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang kemudiannya akan menjalankan kaunseling, mentor, pendidikan dan kerja komuniti, kepada pesalah.
“Ini selaras dengan Artikel 40 Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak,” katanya.
Thomas menambah bahawa hukuman penjara kepada kanak-kanak boleh menjadikan remaja yang terpesong lebih buruk, oleh itu ia harus dielakkan.
Program ini bermula di Sepang dan Seremban pada bulan lepas. – 10 Januari, 2020.
Komen