Hukuman mahkamah syariah pinggirkan lagi golongan LGBT, kata NGO


28 kumpulan badan masyarakat berkata hukuman berkenaan mengukuhkan persepsi bahawa golongan LGBT adalah penjenayah, yang akan terus menghukum mereka yang terpinggir.– Gambar EPA, 9 November, 2019.

KEPUTUSAN Mahkamah Syariah Selangor menghukum lima lelaki kerana cuba melakukan hubungan seks di luar tabii akan menyebabkan lebih banyak ketidakadilan ke atas golongan minoriti seksual itu, kata 28 badan masyarakat dalam satu kenyataan.

Hukuman itu meningkatkan tanggapan umum bahawa golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah “penjenayah” yang boleh terus didiskriminasi, kata kumpulan itu.

“Keputusan mahkamah seperti (ini) mengukuhkan persepsi bahawa golongan LGBT adalah penjenayah, yang akan terus menghukum mereka yang terpinggir – bukan saja oleh pemerintah tetapi di tempat kerja, oleh masyarakat serta ahli keluarga.

“Undang-undang ini bukan hanya membenarkan kawalan moral, serbuan dan penahanan yang berwenangan tetapi ia juga menghalalkan amalan yang mendatangkan kecederaan dan ganas seperti sebat diteruskan,” kata mereka.

Pada Khamis, lima lelaki disabitkan kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana percubaan melakukan hubungan seks di luar tabii, pada November tahun lalu.

Empat daripada mereka dihukum penjara enam bulan, denda RM4,800 dan enam sebatan. Seorang lagi tertuduh yang sudah berkahwin dihukum penjara tujuh bulan, denda RM4,900 dan enam sebatan.

Kumpulan 28 badan masyarakat itu mengkritik hukuman mahkamah yang dianggap melanggar hak asasi manusia iaitu kesaksamaan undang-undang, hidup bermaruah, perbicaraan adil dan bebas serta kebebasan bergerak, yang semuanya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga mendesak undang-undang yang menyentuh soal hubungan seks antara orang dewasa atas dasar sukarela dimansuhkan segera.

Jelas mereka, undang-undang itu menceroboh ruang peribadi dan tidak perlu jadi satu jenayah.

Kenyataan 28 badan masyarakat itu juga mengecam tindakan pihak berkuasa agama yang didakwa mengintip, kerana kesalahan yang didakwa itu berlaku dalam satu acara tertutup di sebuah apartmen tahun lalu.

Undang-undang sama tidak hanya terhad di bawah pentadbiran syariah tetapi juga menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Awal Julai lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak merancang untuk menyemak semula peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan jenayah seksual luar tabii.

“Pada masa ini, tiada cadangan untuk mengkaji peruntukan hukuman bagi kesalahan di bawah seksyen 377B dan seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana hukuman yang diperuntukkan dalam kedua-dua seksyen tersebut adalah mencukupi,” katanya, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri menjawab soalan Ahli Parlimen Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang bertanya sama ada kerajaan mahu mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah seks luar tabii agar menjadi pengajaran kepada masyarakat. – 9 November, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen